Isu kuil Kpg Tambak Paya perlu ditangani dengan teliti, kata Datuk Bandar
Isu kuil dik Kampung Tambak Paya, Melaka tengah merupakan isu yang sensitif kerana ia membabitkan hubungan kaum, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zaini Mohd Noor.
Isu kuil dik Kampung Tambak Paya, Melaka tengah merupakan isu yang sensitif kerana ia membabitkan hubungan kaum, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zaini Mohd Noor.
Oleh itu, kata beliau, isu berhubung kuil tersebut perlu ditangani dengan tepat dan berkesan.
"Berikutan itu, saya tidak mahu membuat banyak kenyataan mengenai isu kuil tersebut kerana bimbang disalah tafsir oleh pihak tertentu," katanya ketika dihubungi petang ini.
Zaini berkata demikian ketika ditanya apakah tindakan MBMB terhadap projek pembesaran kuil India di Kampung Tambak Paya yang mendapat bantahan penduduk Islam di kampung tersebut.
Semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pembinaan kuil Hindu di negeri itu perlu dibuat mengikut peraturan.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno di situ mahu kuil tersebut dirobohkan kerana sudah ada dua kuil di kampung tersebut.
'Orang luar hasut'
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Yunos Husin berkata, sebelum ini pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengeluarkan dua notis kepada pentadbir kuil supaya merobohkannya.
Bagaimanapun, sehingga tarikh akhirnya, iaitu 15 Julai lalu, kuil tersebut masih belum dirobohkan walaupun Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mempunyai kuasa berbuat demikian.
"Sebahagian besar masyarakat India di Kampung Tambak Paya sendiri tidak membantah jika kuil tersebut dirobohkan.
"Respons itu diperolehi daripada tinjauan yang dibuat ke atas penduduk India di kampung tersebut sejak isu pembesaran kuil tersebut tercetus," katanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, isu tersebut perlu ditangani dengan teliti demi menjaga keharmonian kaum di kampung tersebut.
Beliau juga kesal dengan tindakan orang luar kampung itu yang cuba menghasut penduduk tempatan berhubung isu pembesaran kuil berkenaan.

