Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lawan bunga api - Polis tahan empat lelaki di Kelantan
Diterbitkan:  Apr 11, 2024 2:39 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Polis Kelantan menahan empat lelaki kerana bermain bunga api secara berlawanan melibatkan dua kumpulan di sekitar kawasan Lembah Sireh, di Kota Bharu, kira-kira pukul 3 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata kesemua mereka antara 22 hingga 27 tahun itu, ditahan ketika sedang berlawanan bunga api di dua lokasi berbeza, iaitu sekitar Pasaraya Lotus dan di atas Jambatan Sultan Yahya Petra, sehingga menyebabkan bunyi bising dan mengganggu ketenteraman awam.

“Pihak kami telah menerima panggilan telefon dari MERS 999 memaklumkan berkenaan kejadian terbabit dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.

“Kesemua mereka yang ditahan dibebaskan selepas keterangan diambil dan amaran keras dikeluarkan, agar tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata bermain bunga api sehingga mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang awam, merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Malah, individu yang sengaja mengakibatkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda, boleh dikenakan tindakan di bawah  Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207) dan dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi lima minit 16 saat mengenai kejadian tersebut di media sosial.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS