Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ucap takziah kepada pemimpin Hamas
Diterbitkan:  Apr 11, 2024 5:10 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

PAS mengucapkan takziah kepada pemimpin Hamas Ismail Hanniyeh, selepas tiga anak lelaki dan dua cucunya terbunuh dalam serangan udara Israel di kem pelarian Al-Shati di utara Gaza semalam.

Presidennya Abdul Hadi Awang menegaskan serangan genosid dan balas dendam yang dilancarkan pada 1 Syawal itu "adalah lambang keangkuhan Zionis Israel yang dilaknat oleh Allah."

"Tindakan ini tidak akan sekali-kali mematahkan semangat para pejuang Palestin untuk membebaskan Masjid al-Aqsa.

"Semoga ahli keluarga Syeikh Ismail Haniyyeh beroleh syahid dan memberi syafaat di akhirat nanti," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut BBC, Haniyeh dilaporkan berkata bahawa insiden berkenaan tidak akan mengubah tuntutan Hamas dalam perbincangan yang bertujuan mencapai perjanjian gencatan senjata.

Tentera Israel berkata anak lelaki Haniyeh itu adalah anggota sayap tentera Hamas.

Kumpulan itu dilaporkan dalam perjalanan menyambut Aidilfitri bersama keluarga mereka.

Bekas perdana menteri Palestin itu memberitahu stesen Al Jazeera bahawa tiga anak lelaki - Hazem, Amir, dan Muhammad - tinggal di Gaza semasa perang.

Kenyataan Hamas kemudiannya menyebut empat cucu Haniyeh - Mona, Amal, Khaled dan Razan - adalah antara mereka yang terbunuh dalam apa yang mereka panggil sebagai serangan "khianat dan pengecut".

Haniyeh berkata, dia dimaklumkan mengenai berita itu ketika dia melawat rakyat Palestin yang cedera yang dibawa untuk rawatan di ibu kota Qatar, Doha, tempat pemimpin Hamas itu tinggal.

Haniyeh ialah tokoh terkemuka dalam diplomasi antarabangsa Hamas di tengah-tengah konflik berterusan dengan Israel di Semenanjung Gaza dan pada November lepas rumah keluarganya musnah akibat serangan udara Israel.

Lihat Komen
ADS