Berdasarkan semakan senarai pemilih Mac lalu, beribu-ribu nama pemilih baru yang didaftarkan oleh Umno masih belum dimasukkan dalam data Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Sebagai contoh, katanya, Umno di negeri Kedah secara keseluruhannya telah mendaftarkan 43,000 pengundi baru bagi tempoh sehingga Disember 2006 tetapi semakan pemilih bagi tempoh Mac lalu mendapati hanya ada 10,000 sahaja pengundi baru, manakala senarai nama selebihnya masih belum dimasukkan dalam data SPR.

"Kelemahan SPR itu sememangnya mendukacitakan dan kita berharap perkara ini dapat diatasi segera kerana kita sentiasa menjalankan kempen mendaftar pemilih baru.

"Tetapi jika pilihanraya diadakan selepas September ini, senarai pengundi baru mungkin tercicir kerana nama mereka belum dimasukkan dalam data sebagai pengundi," kata Radzi selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Jerlun hari ini.

Menurut laporan Bernama, Radzi berkata perkara tersebut telah dimaklumkan kepada suruhanjaya berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, semua Umno bahagian di seluruh negara diarah membuat semakan daftar pemilih di kawasan masing-masing sempena pameran senarai pemilih terkini oleh SPR minggu depan.

"Kita difahamkan terdapat nama pengundi yang dikutip oleh Umno masih belum ada dalam senarai pemilih SPR dan kita mahu semua ketua Umno bahagian memberi maklum balas kepada kita untuk memastikan senarai terkini pada minggu depan," katanya.

Daftar pemilih

Katanya, semakan itu penting bagi memastikan SPR telah memasukkan nama pemilih berdasarkan senarai terkini oleh parti.

Beliau berkata SPR sebelum ini memberi alasan mereka tidak mempunyai petugas yang mencukupi untuk menjalankan kerja-kerja kemasukan data dan sedang berusaha berbuat demikian dengan mengambil pekerja sambilan.

Semalam, pengerusi SPR Tan Sri Rashid Abdul Rahman berkata suruhanjaya itu bersedia mengendalikan pilihanraya umum ke-12 selepas September ini dan ia telah dimaklumkan kepada kerajaan.

Katanya semua urusan bagi menghadapi pilihanraya khususnya berkaitan latihan kakitangan dan penyediaan peralatan termasuk peti undi hanya dapat diselesaikan akhir September.

Radzi yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri berkata kerajaan menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga berusaha mengemaskini rekod daftar pemilih SPR dengan memberikan borang rekod kematian kepada suruhanjaya itu pada setiap kes pengeluaran sijil kematian.

"Mulai sekarang, jika ada orang yang membuat laporan kematian, JPN juga memberikan mereka borang untuk SPR supaya suruhanjaya itu dapat memadamkan nama si mati daripada senarai pemilih," katanya.

Beliau berkata pengesanan nama pengundi yang telah meninggal dunia sebelum ini menjadi sukar kerana tidak ramai rakyat Malaysia yang melaporkan kematian kepada SPR dan JPN kini membantu SPR mendapatkan data nama mereka yang telah meninggal dunia.