Pemilihan Umno: Ada pemimpin yang telah mula berkempen...
Walaupun pemilihan Umno tahun ini telah ditangguhkan bagi menghadapi pilihanraya umum, namun menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah ada pemimpin parti itu yang telah mula '"berjalan-jalan".
Walaupun pemilihan Umno tahun ini telah ditangguhkan bagi menghadapi pilihanraya umum, namun menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah ada pemimpin parti itu yang telah mula '"berjalan-jalan".
"Biasalah mereka berjalan-jalan, tak mula lagi (untuk melobi)...(keadaan) masih terkawal lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Sepang semalam.
Ditanya jika terdapat sebarang aduan yang diterima oleh parti terhadap mana-mana pemimpin, beliau berkata: "Tidak secara terbuka tapi bisik-bisik ada lah...perkara biasa, tiada apa yang mengejutkan".
Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, parti itu menangguhkan pemilihan pimpinannya tahun ini kerana ingin memberi keutamaan kepada persiapan menghadapi pilihanraya umum ke-12, demikian menurut laporan Bernama.
"Dari segi parti, keutamaan kita ialah untuk menguatkan Umno sebagai sebuah organisasi dan persediaan untuk menghadapi pilihanraya ini mesti diberi keutamaan (daripada pemilihan pucuk pimpinan parti)," kata Najib.
Bagaimanapun, katanya, tarikh pemilihan parti itu belum ditentukan lagi. Mengikut perlembagaan Umno, pemilihan parti boleh ditangguhkan sehingga tempoh 18 bulan.
Ahli berkualiti
Sebelum ini, dalam ucapannya, Najib berkata walaupun Umno merupakan parti politik terbesar di negara ini, dengan seramai 3.3 juta ahli, tetapi parti itu harus memastikan kesemua mereka berkualiti, komited dan yang lebih penting mempunyai semangat untuk mendukung perjuangan parti.
Dalam era globalisasi, katanya, hanya yang berkualiti akan berjaya dalam apa juga perjuangan dan ini tidak hanya kepada perniagaan tetapi juga untuk sebuah parti politik yang besar seperti Umno.
"Kita mesti ada ahli yang berkualiti untuk menyumbang kepada perjuangan parti. Mereka hendaklah masuk Umno untuk perjuangan itu, bukan kerana mereka hendak sesuatu dari parti. Prinsip perjuangan parti hanya akan dapat dijaga oleh ahli-ahli yang komited," katanya.
Najib mengingatkan ahli Umno, jika mereka memilih pemimpin parti yang mengamalkan sikap "hulur" iaitu rasuah untuk memancing undi ketika pemilihan parti, Umno akan hancur kerana pemimpin itu tidak mempunyai kewibawaan.
"Kita mesti ada roh dan prinsip dalam perjuangan kita. Pengasas dan pemimpin parti yang terdahulu daripada kita telah membuktikan yang orang Melayu boleh berjaya jika kita betul-betul komited terhadap perjuangan kita. Kita kalahkan British (dalam memerdekakan negara) bukan dengan senjata tetapi dengan semangat perjuangan kita. Roh perjuangan inilah yang akan menentukan masa depan kita," katanya.
Mengenai parti pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Najib berkata, parti itu tidak mempunyai sebarang agenda untuk orang Melayu tetapi hanya mempunyai agenda peribadi seseorang.
Martabat Melayu
"Keadilan tidak mempunyai agenda untuk bangsa dan negara. Walaupun dia (Keadilan) serang kita, pengundi masih memilih Barisan Nasional. Kita disokong kerana kita komited dan dedikasi terhadap apa yang kita buat untuk negara dan bangsa," katanya lagi.
Katanya, ahli Umno perlu mempunyai wawasan dan tindakan untuk menentukan kejayaan orang Melayu.
"Hanya dengan dua ini kita boleh berjaya....Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mempunyai wawasan dan tindakan. Kita yakin matlamat perjuangan kita akan tercapai jika kita mempunyai kedua-dua tonggak ini," katanya.
Walaupun Umno telah berkuasa selama 61 tahun, Najib berkata, perjuangannya untuk menaikkan martabat orang Melayu masih belum selesai.
"Tetapi dari sudut perjuangan proses membina negara, ia tidak mungkin lengkap dalam masa yang begitu singkat. Kita bukan hanya hendak membina negara tetapi juga satu peradaban tamadun bangsa yang hebat. Sebab itulah kita perlu memperkukuhkan Umno.
"Tahun ini kita perlu isytiharkan sebagai tahun menguatkan organisasi kita yang unggul ini," katanya.

