Nasihat Anwar kepada Tan Sri Rashid...
Satu perhimpunan 100,000 rakyat akan diadakan di Putrajaya pada 10 November ini untuk membantah perjalanan pilihanraya umum yang didakwa tidak adil dan tidak telus di negara ini.
Satu perhimpunan 100,000 rakyat akan diadakan di Putrajaya pada 10 November ini untuk membantah perjalanan pilihanraya umum yang didakwa tidak adil dan tidak telus di negara ini.
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, perhimpunan tersebut adalah anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dengan sokongan parti-parti pembangkang.
Menurutnya, perhimpunan tersebut akan diadakan di perkarangan pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Jika pilihanraya diadakan lebih awal dari tarikh tersebut, maka kita akan adakan perhimpunan itu lebih awal," katanya ketika berucap di konvensyen rakyat anjuran Bersih di ibu negara Jumaat lalu.
Hadir sama ialah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong kempen pilihanraya adil dan bersih di negara ini.
Para hadirin terdiri penyokong PAS dan PKR, membanjiri tempat konvensyen tersebut di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Dewan penuh sesak menyebabkan sebahagian orang ramai terpaksa mengikuti ucapan pemimpin parti politik dan NGO melalui skrin besar.
Sokongan rakyat
Sementara itu, Anwar dalam ucapannya membidas beberapa pegawai tinggi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang didakwanya tidak berani melakukan perubahan dalam perjalanan pilihanraya.
"Saya ingin menasihatkan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (Pengerusi SPR), Datuk Kamaruzaman Mohd Noor (setiausaha) dan pegawai kanan lain supaya melaksanakan amanah dengan baik untuk rakyat," katanya.
Sementara Abdul Hadi berkata, parti pembangkang tidak dapat melakukan sebarang perubahan jika tidak mendapat sokongan padu rakyat.
"Perubahan tidak akan terjadi jika rakyat dan parti-parti politik tidak bersatu untuk melakukannya," katanya yang juga bekas Menteri Besar Terengganu.
"Perhimpunan malam ini tiada maknanya jika rakyat tidak berani membuat perubahan. Insya-Allah perhimpunan ini akan menyatukan kita," katanya.

