Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis lepas lima das tembakan amaran kereta lari sekatan
Diterbitkan:  Apr 15, 2024 6:40 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan amaran terhadap sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki dan tiga wanita dalam kejadian di Kuala Pegang, di Baling awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata tiga wanita dan seorang lelaki ditahan sejurus selepas kereta itu terbabas di atas Jambatan Kuala Pegang di Baling, manakala seorang lagi suspek ditahan pada pukul 3 petang tadi Gerik.

Beliau berkata sebelum itu Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Perak menerima maklumat daripada anggota bertugas di sekatan jalan raya di Sungai Lebey, Gerik pada 4 pagi yang memaklumkan sebuah kereta jenis Proton Perdana dalam keadaan mencurigakan dan memecut laju ketika melalui sekatan polis.

Peronda MPV Gerik yang membuat Op Kesan di kawasan sekitar kemudianya mengesan kenderaan suspek di sebuah stesen minyak di Kuala Rui, Gerik, dan semasa didekati kenderaan itu terus memecut laju, menyebabkan polis mengejarnya sehingga masuk ke sempadan Baling, Kedah.

“Kenderaan dipandu suspek membahayakan nyawa pengguna jalan raya dari arah bertentangan dan bagi mengelakkan kenderaan suspek melanggar kenderaan lain, anggota kenderaan peronda MPV Gerik telah memberi amaran melalui alat perhubungan ‘spectra’ sebanyak tiga kali,” katanya dalam kenyataan di Baling hari ini.

Shamsudin berkata suspek enggan memberhentikan kenderaannya sehingga menyebabkan anggota peronda melepaskan lima das tembakan amaran, dengan dua tembakan mengenai bahagian ‘bonet’ kenderaan itu.

Beliau berkata kenderaan itu bagaimanapun tetap masih memecut laju sebelum terbabas di atas Jambatan Kuala Pegang, dan dua suspek dipercayai pemandu serta penumpang hadapan melarikan diri ke bawah jambatan sebelum menghilangkan diri.

Polis kemudiannya menemukan seorang lelaki dan tiga wanita dipercayai warga asing berumur 23 hingga 39 tahun tanpa dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah.

Shamsudin berkata seorang suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 30an yang melarikan diri awalnya, kemudian ditahan di Stesen Bas Gerik, Perak pada pukul 3 petang tadi, sementara seorang lagi suspek masih bebas.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman dan kredibiliti mana-mana pihak termasuk siasatan yang masih dijalankan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS