Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hina pelanggan McD rugikan kempen boikot entiti pro-Israel

Boycott Divestment Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) mengecam sikap melampau pihak tertentu kerana menggambarkan pelanggan restoran McDonald's seumpama anjing.

Menganggap ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam, Pengerusi BDS Malaysia, Mohd Nazari Ismail, berkata sepatutnya penjelasan diberikan kepada mereka mengapa usaha memboikot rangkaian makanan segera terbabit dibuat agar pengguna mendapat kefaham yang sebenar.

"Jika kita hendak meyakinkan orang dengan hujah kita, kita kena lakukan secara berhikmah atau bijaksana.

"Ini juga adalah nasihat yang ada dalam al-Quran iaitu berhikmah (bijaksana) dalam dakwah.

"Kata-kata kesat dan menghina mestilah dielakkan sebab itu bukan cara yang hikmah atau bijaksana.

"Sepatutnya kita terangkan dengan baik kenapa McDonald's menjadi tumpuan usaha gerakan boikot antarabangsa," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, tular beberapa poster kecam di media sosial yang menggambarkan anjing menikmati hidangan McDonald's, dipercayai dihasilkan seorang pengguna Facebook.

Boleh bagi nasihat

Mengulas perkara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Quran Sunnah Universiti Islam Antarabangsa, Abu Hafiz Salleh Hudin, berkata walaupun berbeza dalam pendapat, Islam tetap mengharamkan penghinaan atau menyamakan manusia dengan binatang.

"Dalam hal ini, tidak sepatutnya bahkan berdosa seseorang itu menghina golongan yang tidak terlibat dalam boikot dengan memberi gambaran negatif seperti anjing kepada mereka.

“Ini kerana di dalam al-Quran dan hadis juga menyatakan bahawa dilarang menghina sesama umat Islam. Perbezaan pendapat mengenai boikot bukanlah suatu masalah sehingga perlu memaki hamun sesama masyarakat," katanya yang dipetik Malaysiakini.

Mohd Nazari berkata Malaysia mempunyai undang-undang dan semua pihak perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Bahkan, katanya, usaha menyekat kemungkaran juga tertakluk kepada undang-undang tertentu.

"Sebagai contoh, kalau kita nampak orang Islam memasuki kedai judi, kita tak boleh pukul dia, sebaliknya berikannasihat.

"Samalah juga dengan isu boikot syarikat yang terlibat dengan Israel.

“Bagi orang yang tak mahu boikot, kita boleh nasihat mereka tetapi tak perlu ganggu mereka secara fizikal.

"Ini akan memberi persepsi negatif kepada usaha memboikot yang merupakan usaha murni untuk membantu rakyat Palestin yang dizalimi dan ditindas," katanya lagi.

Tambah Mohd Nazari peranan BDS Malaysia dalam gerakan boikot ialah memberi penerangan yang terperinci berkenaan apa yang sedang berlaku di Palestin, serta kenapa seluruh dunia perlu memberi bantuan kepada rakyat Palestin.

Katanya, cara yang sangat berkesan untuk melemahkan ekonomi negara haram Israel ialah apabila semua syarikat perniagaan di dunia tidak mahu terbabit dengan rejim terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS