Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir kilat landa Selangor, Negeri Sembilan
Diterbitkan:  Apr 16, 2024 9:37 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Banjir kilat dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Selangor dan Negeri Sembilan hari ini berikutan hujan lebat.

Di Selangor, banjir dilaporkan berlaku di Kampung Melayu Subang dan Kampung Kubu Gajah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata banjir berpunca daripada limpahan air sungai.

Anggota bomba telah dikerahkan ke kawasan terjejas namun tiada pemindahan dilakukan setakat ini.

Banjir kilat turut dilaporkan berlaku di beberapa jalan di seluruh Lembah Klang.

Sementara itu, banjir kilat turut melanda Seremban di Negeri Sembilan.

KTM Berhad melaporkan stesen Serembannya turut terjejas, dengan air naik di atas landasan kereta api.

Operasi kereta api juga ditangguhkan, dengan beberapa tren dijangka lambat selama 51 minit.

Dalam perkembangan berkaitan, Sekretariat Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan memaklumkan antara kawasan terjejas di Seremban ialah Kampung Ismail, Kampung Semarak, Blok B dan C Ampangan, Kampung Jiboi, Taman Happy, Kampung Batu 3 dan Kampung Kuala Sawah.

“Di Rembau, banjir kilat berlaku di Kampung Titian Bintangor.

“Setakat ini tiada pusat pemindahan sementara dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas,” kata APM pada satu kenyataan.

Menurut sekretariat berkenaan trend air di beberapa kawasan juga ketika ini meningkat dan APM sedang melakukan pemantauan di kawasan berisiko.

Lihat Komen
ADS