Malaysiakini hari ini memfailkan pembelaannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap saman fitnah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung dakwaan sogokan balak.

Dalam kenyataan pembelaan setebal 42 muka surat itu, malaysiakini dan Ketua Pengarangnya, Steven Gan, menyifatkan saman Taib itu sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Menurut kenyataan yang disediakan oleh firma guaman Azzat & Izzat yang mewakili malaysiakini - saman Taib itu menunjukkan plantif cuba menghalang sebarang kritikan dan perbalahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dengan menghalang ahli-ahli DUN daripada membincangkan isu tersebut.

Pada 15 Mei lalu - hari Taib memfailkan samannya itu - Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Awang Asfia Awang Nassar mengarahkan tiada sebarang soalan atau perbahasan mengenai perkara tersebut dibenarkan dan sebarang perbincangan mengenainya akan dianggap subjudis memandangkan ketua menteri telah menyatakan hasratnya untuk memulakan tindakan undang-undang.

Kontroversi mengenai dakwaan sogokan balak tersebut bermula ekoran satu laporan oleh agensi berita Jepun Kyodo News , yang disiarkan oleh akhbar Japan Times pada 29 Mac 2007.

Ia melaporkan bahawa sembilan anggota kartel perkapalan Jepun yang mengangkut balak dari Sarawak didakwa telah membayar RM32 juta kepada sebuah agensi di Hong Kong - yang didakwa oleh syarikat perkapalan terbabit dikecualikan dari cukai, tetapi ia tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa percukaian Jepun.

Laporan itu menambah bahawa Regent Star , yang dianggap syarikat atas kertas di Hong Kong, berkaitan rapat dengan Taib dan keluarganya.

Isu tersebut juga turut dilaporkan oleh pelbagai pertubuhan berita di Jepun dan di tempat lain. Malaysiakini melaporkan perkara itu seminggu kemudiannya, dan membuat susulan melalui isu khas mengenainya - RM32 mil kickbacks - tip of the iceberg.

Nafi dakwaan

Taib, 71, yang menjadi ketua menteri Sarawak sejak 26 tahun lalu, menafikan dakwaan tersebut dalam satu kenyataan khas di mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang terbabit.

Selain malaysiakini dan dua orang ahli politik di Kuching, Taib juga turut memfailkan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia , tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ianya telah diserahkan kepada akhbar milik Umno itu.

Dua pemimpin pembangkang itu - bekas Pengerusi PKR Sabah, Wan Zainal Wan Sanusi dan ketua PKR cawangan Stampin, See Chee How - turut disaman kerana mengedarkan risalah yang mengandungi artikel dari malaysiakini dan Japan Times , di sekitar bandar Kuching.

Menurut kenyataan pembelaan itu, malaysiakini "tidak berbuat apa-apa kecuali menjalankan tanggungjawabnya serupa seperti mana-mana organisasi berita lain yang dihormati yang beroperasi dengan kejujuran profesional kewartawanan akan lakukan di dalam situasi seperti ini dalam melaporkan berita yang membabitkan kepentingan awam".

Ia juga menegaskan bahawa Taib masih belum memulakan apa-apa tindakan undang-undang terhadap akhbar-akhbar Jepun yang telah menerbitkan kandungan berita yang sama dalam laporan berita mereka.

Kenyataan pembelaan itu juga mengandungi butiran mengenai kepentingan perniagaan yang membabitkan keluarga Taib, termasuk konglomerat Cahaya Mata sarawak (CMS).

CMS diketuai oleh anak Taib, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan saudara lelakinya Mahmud Datuk Abu Bekir Taib, dan sebahagian pegangan dalam syarikat tersebut dimiliki isteri ketua menteri tersebut, Leila Taib

Syarikat tersebut adalah salah sebuah konglomerat utama di Malaysia dengan pendapatan RM6.2 bilion dan keuntungan sebelum cukai RM519 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2006.

Kandungan pembelaan

Dalam samannya itu,Taib menegaskan bahawa laporan-laporan dalam malaysiakini bertujuan untuk meningkatkan jumlah pelanggan dan pengiklannya dalam lamanweb tersebut.

Sebaliknya, kenyataan pembelaan itu berkata, penerbitan artikel-artikel tersebut telah "mendedahkan defenden kepada risiko pengurangan jumlah pengiklan...kerana keadaan politik Malaysia yang bersifat menindas di mana sebarang laporan atau berita terhadap pihak kerajaan, iaitu Barisan Nasional tidak digalakkan."

Perkara-perkara utama lain yang terkandung dalam kenyataan pembelaan tersebut termasuk:

- Tingkah lalu, sikap dan urusan perniagaan plantif adalah satu perkara penting yang serius yang melibatkan kepentingan awam kerana plantif adalah seorang ahli politik yang masih berkhidmat dan merupakan ketua menteri Sarawak.

- Perniagaan pembalakan adalah salah satu sumber pendapatan yang menguntung di Malaysia dan memberi sumbangan besar kepada ekonomi terutama di Sarawak dan Malaysia secara amnya, tambahan lagi ia merupakan satu perkara yang mempunyai kepentingan awam, kepada semua yang terlibat dalam pemeliharaan dan perlindungan hutan rimba dan juga kesan pembalakan kepada keadaan persekitaran bumi.

Ekoran jawapan pembelaan malaysiakini itu, Taib mempunyai tempoh dua minggu untuk memfailkan jawapannya sebelum ditetapkan tarikh perbicaraannya. Berita asal