Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kakitangan Google mogok bantah kontrak Project Nimbus Israel
Diterbitkan:  Apr 18, 2024 3:58 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

GLOBAL | Sekumpulan sembilan kakitangan Google ditahan pada Selasa malam (waktu AS) selepas melancarkan mogok dengan duduk selama lapan jam di pejabat syarikat terbabit di New York dan California, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Bantahan itu dibuat kerana penglibatan Google dalam Project Nimbus, kontrak kerajaan Israel bernilai AS$1.2 bilion yang meliputi pengkomputeran awan dan perkhidmatan kecerdasan buatan daripada Google dan Amazon Web Services.

Semasa mogok itu, pekerja di New York menduduki ruang umum di tingkat 10 pejabat Chelsea, manakala pekerja di kampus Sunnyvale, California, mengambil alih pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud Thomas Kurian.

Mogok itu disiarkan secara langsung oleh pertubuhan aktivis No Tech For Apartheid yang mendakwa mewakili pekerja teknologi yang menentang aktiviti menjalankan perniagaan dengan Israel.

Protes terbaru itu dicetuskan oleh laporan Time yang mendedahkan Google menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada Kementerian Pertahanan Israel.

Menurut laporan itu, Google memberi kementerian terbabit diskaun 15 peratus ke atas yuran perundingan kerana "rangka kerja Nimbus" mengikut kontrak dan kementerian telah membayar syarikat teknologi itu lebih daripada AS$1 juta untuk perkhidmatan perundingan.

Sejak pengumumannya pada 2021, Project Nimbus menghadapi protes dalaman yang berterusan di Google dan Amazon.

Sebagai respons kepada protes itu, pengurus komunikasi luaran Google Cloud, Anna Kowalczyk menyatakan melalui e-mel kepada The Verge bahawa Projek Nimbus tidak ada kaitan dengan tentera Israel.

Anna menjelaskan bahawa kontrak Nimbus adalah untuk beban kerja yang berjalan di awan komersial Google oleh kementerian kerajaan Israel, yang bersetuju untuk mematuhi Syarat Perkhidmatan dan Dasar Penggunaan Boleh Diterima Google.

Dia menambah kerja Google tidak ditujukan kepada beban kerja yang sangat sensitif, dikelaskan atau ketenteraan yang berkaitan dengan senjata atau perkhidmatan perisikan.

- Bernama/dpa

Lihat Komen
ADS