PAS gesa umum segera kos jambatan kedua Pulau Pinang
PAS menuntut supaya diumumkan segera bajet pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang supaya rakyat dapat menilai sama ada kosnya munasabah atau tidak.
PAS menuntut supaya diumumkan segera bajet pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang supaya rakyat dapat menilai sama ada kosnya munasabah atau tidak.
"Sementara bajet tersebut disiapkan, segala komitmen perbelanjaan mestilah dihentikan," katanya Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata, PAS bimbang berlaku peningkatan kos berlipat kali ganda dalam projek tersebut seperti yang pernah berlaku dalam pembinaan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Katanya, rakyat belum lupa bagaimana kos pembinaan PLUS yang dibajet sebanyak RM3.5 bilion, akhirnya melambung menjadi RM6.8 bilion.
Pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang dibuat oleh Konsortium UEM Group Bhd dan China Harbour Engineering Company (CHEC ) bagi mengatasi kesesakan di jambatan sedia ada.
"Kebimbangan PAS akan berulangnya peningkatan kos kerana bajet bagi kos pembinaan jambatan kedua belum diputuskan kerana rekaan penuh jambatan belum disiapkan," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Di samping itu, kata Husam, wujud tekanan daripada CHEC untuk memiliki 51 peratus kepentingan dalam kerja pembinaan kerana pinjaman RM2.6 bilion yang diberikan oleh Exim Bank China.
Kos perkhidmatan bank
"Memandangkan bajet pembinaan belum ditetapkan, ini membuka ruang kepada CHEC untuk mamaksa kos pembinaan yang tinggi," katanya.
Husam berkata, pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang mengulangi skrip pelaksanaan projek mega zaman lalu.
Katanya, jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mewujudkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab terus mengecewakan.
Dalam sidang media yang sama, Husam turut menyentuh tentang kos perkhidmatan yang dikenakan oleh bank kepada pelanggannya yang membebankan, yang menurut ada kaitan dengan penggabungan bank di negara ini.
Husam yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS berkata, sebagai contoh, CIMB mengenakan bayaran RM50 kepada pelanggan untuk mendapatkan rubber stamp bagi pengesahan akaun.
"Pusat Aduan Pelanggan Nasional juga mengesahkan telah menerima pelbagai aduan bagaimana bank tempatan mengenakan bayaran yang pelbagai bagi setiap transasksi termasuk menunaikan cek, pindahan wang, permohonan penyata bank, cek tak laku dan yuran ATM," katanya.
Husam berkata, memandangkan sektor perbankan sudah stabil dan bank meraih keuntungan besar, maka sudah sampai masanya bagi Bank Negara Malaysia menyemak semula pekeliling mengenai pembayaran tersebut.
Katanya, pelanggan seharusnya mendapat manfaat dari sektor perbankan yang cekap.

