Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa ada kemungkinan Cif Insp Azilah Hadri tertuduh pertama kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu tidak mengetahui lokasi tempat kejadian wanita Mongolia itu dibunuh.

C/Insp Koh Fei Cheow, 38, dari Jabatan Siasatan Jenayah Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang menyambung keterangannya hari ini bersetuju dengan peguam J.Kuldeep Kumar, yang mewakili Azilah, bahawa beliau terfikir ada kemungkinan Azilah tidak tahu lokasi itu kerana mereka tersilap jalan beberapa kali semasa dalam perjalanan mencari tempat kejadian disebabkan Azilah tidak pasti jalan yang mereka lalui.

Dalam keterangannya Khamis lalu, Koh memberitahu mahkamah bahawa pada 6 November tahun lalu, Azilah telah membawa polis ke Puncak Niaga Empangan Tasik Subang, Selangor, iaitu tempat Altantuya ditembak dan diletupkan, demikian menurut laporan Bernama.

Saksi itu telah memberitahu mahkamah bahawa kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya bersama DSP Zainuddin Abdul Samad dan Azilah, telah melalui beberapa jalan seperti Jalan Persiaran Suria, Jalan Kampung Subang, Kawasan Bukit Jelutong dan Jalan Puncak Perdana sebelum sampai di tempat kejadian, berdasarkan panduan oleh Azilah.

Di sepanjang perjalanan, katanya, mereka telah berhenti beberapa kali kerana tersilap jalan disebabkan Azilah tidak pasti jalan yang dilalui itu.

Koh merupakan saksi pendakwaan ke-20 pada perbicaraan itu yang masuk hari ke-23.

Azilah, 31, bersama Koperal Sirul Azhar, 36, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas (UTK), dituduh membunuh Altantuya di satu lokasi di Mukim Bukit Raja, antara jam 0 malam 19 Oktober tahun lalu dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, dituduh bersubahat dengan mereka. Ketiga-tiga mereka menghadapi hukuman mati jika disabit kesalahan.

Ketika menyambung keterangannya, Koh berkata, sewaktu perjalanan untuk mencari tempat kejadian itu, Azilah duduk di bahagian belakang kenderaan Pajero, diapit oleh beliau dan seorang detektif.

Zainuddin duduk di sebelah pemandu manakala seorang lagi anggota polis duduk di bahagian belakang sekali.

Koh berkata, di tempat, rangka tulang bersaiz besar dipercayai manusia, ditemuinya di satu kawasan lapang dan bukannya dalam keadaan tersembunyi.

Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwaraya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, saksi itu berkata beliau juga nampak serpihan tulang dipercayai manusia dan daun pokok kelihatan seperti terbakar semasa beliau memeriksa sekitar kawasan tempat kejadian itu.

Koh juga ditunjukkan 256 keping gambar oleh Tun Abdul Majid dan saksi itu mengenalpasti tempat yang beliau gambar kepada mahkamah dalam keterangannya dahulu, sebagai tempat di mana wanita Mongolia itu ditembak dan diletupkan dan juga tempat di mana serpihan rangka dipercayai manusia ditemui di atas tanah, dan pokok yang layu dan mempunyai kesan terbakar adalah sama dengan tempat kejadian seperti di dalam beberapa gambar yang dirujuknya itu.

Saksi itu berkata, setelah berada di tempat kejadian selama satu jam 55 minit, beliau meninggalkan tempat kejadian dan sampai di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 8.45 malam, hari yang sama.

Katanya, beliau menghantar Azilah ke lokap sebaik sahaja sampai di IPKKL dan kemudiannya membuat laporan berhubung penemuan rangka tulang itu dan tindakannya untuk mengepung tempat kejadian itu.

Pada malam itu, katanya, beliau mengemas kini buku siasatannya, berpandukan kepada catatan yang dibuat olehnya mengenai maklumat yang diperoleh daripada Azilah dan juga mengenai penemuan tempat kejadian dan rangka tulang itu.

Koh berkata, amalan yang dipraktiknya sepanjang 17 tahun beliau bertugas sebagai anggota polis ialah untuk mengemaskini buku siasatannya dengan menaip ke dalam komputernya pada sebelah malam hari yang sama.

Koh berkata, beliau telah menggunakan satu buku siasatan bagi kes ini kerana ia kes berprofil tinggi.

Kuldeep : Semasa temubual dengan Azilah, dia tidak beritahu kamu nama kawasan?

Koh: Setuju

Kuldeep: Kamu tulis di sini (dalam buku siasatannya) kurang pasti tempat kejadian. Setuju, pada masa ini tiada maklumat mengenai tempat kejadian.

Koh: Tidak setuju kerana maklumat itu adalah maklumat umum bagi saya.

Kuldeep: Apa maklumat umum yang ada di sini?

Koh: Maklumat umum yang dimaksudkan adalah tertuduh boleh cuba mencari tempat kejadian dan dia boleh menunjuk jalan-jalan pergi ke tempat tersebut.

Saksi itu juga berkata beliau tidak ingat sama ada sebuah motosikal dinaiki seseorang sedang turun dari kawasan bukit tempat tulang itu ditemui.

Kuldeep: "Semasa Pajero kamu berhenti di lokasi kawasan lapang, DSP Zainudin dan kamu terus keluar dari kenderaan dan pergi ke suatu lokasi di pinggir tanah lapang. Setuju?"

Koh: "Tidak setuju."

Beliau turut tidak bersetuju bahawa pada masa itu Zainudin telah memarahi Azilah dan membawa tertuduh pertama itu ke pinggir kawasan lapang yang terdapat beberapa pokok layu.

Koh berkata beliau tidak mengetahui sama ada Azilah telah memberitahu Zainudin: "Tuan, saya tidak tahu tempat ini."

Disoal pula tentang catatan dalam buku siasatannya berhubung penemuan lokasi kejadian itu, saksi itu mengakui tidak terdapat rekod mengenai bagaimana beliau sampai ke kawasan lapang itu dari Puncak Niaga Empangan Tasik Subang.

Koh juga mengakui beliau tidak merekodkan perkataan "Azilah berkata" dan "Azilah menunjukkan" dalam buku siasatannya berhubung perkara itu.

Bagaimanapun beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguambela bahawa perkara itu menunjukkan Azilah sebenarnya tidak berkata apa-apa kepada beliau (Koh) semasa dibawa ke lokasi di mana Altantuya dikatakan telah diletupkan.

Di awal prosiding, Tun Abdul Majid memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan senarai saksi baru dan menambah bilangannya daripada 134 kepada 168.

Katanya saksi baru yang tersenarai kebanyakannya adalah anggota polis.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Yasin disambung esok.