Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar meninggal dunia ketika larian rentas desa

Seorang pelajar tingkatan dua meninggal dunia ketika menyertai acara larian merentas desa peringkat sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah DSP Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, rebah kira-kira 50 meter sebelum ke garisan penamat bagi acara larian itu kira-kira 9.30 pagi tadi.

"Anggaran 700 pelajar menyertai larian merentas desa sepanjang tujuh kilometer itu pagi tadi dan ketika pelajar itu hampir ke garisan penamat, dia telah rebah serta tidak sedarkan diri. Guru ada memberikan bantuan pernafasan tetapi pelajar tersebut tidak memberikan tindak balas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata pihak sekolah segera menghubungi talian 999 dan pelajar itu dibawa ke unit kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk rawatan lanjut.

“Pada 10.15 pagi tadi ambulans tiba di Unit Kecemasan dan setelah hampir sejam memberikan bantuan, pelajar itu akhirnya disahkan meninggal dunia," katanya.

Syahrul Anuar menjelaskan berdasarkan keterangan bapa pelajar itu, anaknya disahkan menghidap penyakit jantung berlubang pada 2016 dan mempunyai kad rawatan bagi penyakitnya itu dari Institut Jantung Negara (IJN) selain sentiasa dibekalkan dengan ubat-ubatan.

Sementara itu, Adun Juasseh Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid ketika ditemui di Unit Forensik HTAN mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pelajar berkenaan.

"Saya diberitahu oleh pihak keluarga dan sekolah bahawa pelajar ini ada penyakit jantung, dia tidak berlari sangat mungkin keadaan kesihatannya itu membuatkan dia berasa tidak selesa dan terus rebah.

"Saya telah berjumpa dengan pengetua dan keluarga, masing-masing dapat menerima keadaan ini dengan baik terutamanya ibu bapa pelajar itu, mereka mengakui anaknya ada penyakit dan reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Dia menasihatkan orang ramai tidak menularkan kenyataan yang salah dan negatif berhubung insiden yang menimpa pelajar tersebut.

Menurutnya hasil pertemuan bersama pihak sekolah dan keluarga, bdia dimaklumkan bahawa pelajar itu memang berminat untuk melakukan larian tersebut.

"Saya berharap perkara ini tidak diviralkan secara salah, perlu terima takdir ini malah ibu bapa pelajar itu juga menerima takdir ini dengan baik walaupun sukar.

"Hanya keluarga sahaja yang tahu minat anaknya dalam bidang sukan, mungkin ibu bapa tahu anaknya boleh merentas desa atau melakukan aktiviti lain, netizen tidak tahu...saya bertanya kepada ibu pelajar itu, anaknya minat untuk melakukan aktiviti itu dan apabila bersama kawan-kawan dia lupa yang dia sakit," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS