Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Park Jaehong ketua jurulatih baru KDNFC - Rozi
Diterbitkan:  Apr 19, 2024 8:52 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) hari ini mengumumkan Park Jaehong dari Korea Selatan sebagai ketua jurulatih yang baharu bagi membimbing pasukan itu dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024/25.

Presiden KDNFC Rozi Muhamad berkata jurulatih berusia 46 tahun itu telah menerima lamaran daripada pihaknya sejak Februari lepas namun tidak diuar-uarkan atas beberapa sebab tertentu.

"Beliau sepatutnya bersama pasukan sebelum Aidilfitri, namun berdepan sedikit kekangan dan kami putuskan untuk melanjutkan tempoh berkenaan sebelum beliau tiba di Kota Bharu, Selasa lepas.

"Pemilihan Jaehong berdasarkan kepada pengalaman dan rekodnya sebelum ini yang pernah melatih beberapa kelab di negara asalnya dan luar negara seperti Romania, Thailand dan China," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pasukan KDNFC di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Rozi berkata sebelum ketibaan Jaehong latihan pasukan dikendalikan penolong ketua jurulatih Rezal Zambery Yahya sebagai persiapan menghadapi saingan Liga-M.

"Walaupun Jaehong tidak bersama pasukan sejak awal musim, barisan jurulatih telah mendapatkan khidmat dan rujukan daripada beliau untuk menerapkan corak latihan kepada pemain.

"Pihak pengurusan kelab meletakkan harapan tinggi kepada Jaehong musim ini dengan dibantu Rezal Zambery bagi membawa perubahan corak permainan dan memberi cabaran sengit kepada pasukan lain," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS