Msia memang negara Islam, kata Dr Mahathir
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia adalah sebuah negara Islam, sama ada ia ditulis dalam perlembagaan atau tidak, kerana ia diamalkan di negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia adalah sebuah negara Islam, sama ada ia ditulis dalam perlembagaan atau tidak, kerana ia diamalkan di negara ini.
Beliau berkata, ulama perlu kembali kepada al-Quran dengan membuat terjemahan yang betul mengenai Islam di negara ini.
"Kalau negara yang rakyatnya 100 peratus Muslim, ia tidak ada masalah tetapi kalau negara berbilang kaum seperti Malaysia, susah sikit untuk rakyatnya menerima Malaysia sebuah negara Islam," katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri.
Najib berkata, Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi.
Kenyataan Najib itu dibantah oleh banyak pihak termasuk MCA yang menegaskan bahawa semua dokumen sejarah berhubung pembentukan perlembagaan persekutuan dan penubuhan sebuah negara yang merdeka menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Tidak bertanding
Sehubungan itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan berkata, kenyataan Najib itu tidak bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata: "Bukan sahaja MCA membantah, DAP membantah dan ada juga orang lain yang membantah.
"Walaupun mereka membantah, hakikatnya Malaysia adalah sebuah negara Islam," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Emas Dinar 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Dr Mahathir berkata, beliau kini tidak bertanggungjawab sama ada pengisytiharan tersebut boleh mengurangkan tolerasi di kalangan kaum atau tidak kerana beliau tidak lagi memegang kuasa.
Bekas presiden Umno itu juga ditanya mengapa beliau tidak mahu bertanding sebagai perwakilan dalam mesyuarat Umno bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno akhir tahun ini.
"Saya tidak mahu mereka habiskan wang untuk saya. Tahun lepas mereka belanjakan RM80,000 kerana diberikan RM200 seorang kepada perwakilan bahagian supaya tidak memilih saya.
"Walaupun mereka kata tidak ada rasuah tetapi semua orang tahu mengenai perkara itu dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
Lamanweb dan blog
"Saya yakin perkara ini akan berlaku lagi jika saya bertanding tahun ini," katanya.
Mengenai lamanweb, Dr Mahathir berkata, apa yang ditulis mestilah mempunyai fakta yang betul dan bukannya rekaan.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib terhadap blog politik Malaysia Today yang didakwa menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agong.
"Saya percaya ia merupakan percubaan untuk menghalang suara dalam internet. Anda boleh melakukannya tetapi tidak boleh menahan orang daripada menggunakan internet," katanya.
Dr Mahathir berkata, semasa pentadbirannya, kerajaan pernah mencuba menghalang menggunakan internet lucah tetapi ia mustahil kerana ada kandungannya dari luar negara.
Katanya, ia sama juga dengan blog, di mana tidak boleh menghalangnya.

