Seorang pegawai polis yang membawa Kpl Sirul Azhar Umar ke rumahnya untuk siasatan berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu, menafikan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa Sirul Azhar telah ditinggalkan di ruang tamu selama 15 minit sebelum dibawa masuk ke dalam bilik tidur, tempat barang-barang milik wanita Mongolia itu ditemui.

Cif Insp Koh Fei Chew, 38, dari Bahagian Siasatan Jenayah Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, turut menafikan bahawa dalam tempoh 15 minit itu, beliau dan anggotanya telah menutup pintu dan berada dalam bilik itu tanpa kehadiran Sirul Azhar, tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Altantuya, demikian menurut laporan Bernama

Koh juga memberitahu mahkamah, yang sedang membicarakan kes itu, bahawa beliau tidak mengarahkan Sirul Azhar memegang jaket berwarna hitam yang berada di dalam almari bilik tidur itu bagi membolehkan jurufoto mengambil gambar dan tidak pernah mengarahkan tertuduh itu menunjukkan barang-barang yang diletak pada jaket untuk tujuan yang sama (gambar dirakam).

Penafian itu dibuat semasa pemeriksaan balas oleh Kamarul Hisham Kamarudin, peguam yang mewakili Sirul Azhar.

Dalam keterangannya Khamis lalu, Koh berkata barang kemas dan jam tangan milik Altantuya dijumpai dalam sehelai jaket hitam yang disimpan dalam almari di flat dua bilik yang didiami Sirul Azhar.

Sirul Azhar, 36, dan tertuduh pertama, Cif Insp Azilah Hadri, 31, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas (UTK), Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di Shah ALam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, pula didakwa bersubahat dengan mereka dalam melakukan pembunuhan itu. Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga boleh dihukum mati.

Perbezaan catatan

Terdahulu, pada hari ke-24 perbicaraan hari ini, Koh menolak cadangan Kamarul Hisham bahawa tiada sebarang pendedahan dibuat oleh Sirul Azhar sebelum beliau dan anggotanya ke rumah tersebut.

Katanya, kesemua gambar ketika di rumah Sirul Azhar, termasuk gambar tertuduh itu memegang jaket hitam dan menunjuk ke arah barang kemas Altantuya yang telah dikeluarkan, dirakam atas arahan ASP Zulkarnain Samsudin.

Koh berkata, beliau dan beberapa anggota polis pergi ke flat lima tingkat yang didiami oleh Sirul Azhar di Jalan Camar, Seksyen 4, Kota Damansara, Selangor, pada 7 November tahun lalu dengan dipandu arah oleh Sirul Azhar selepas pendedahan dibuat (oleh Sirul Azhar) dalam satu soal jawab.

Pada awal prosiding, Kamarul Hisham menimbulkan persoalan perbezaan antara catatan dalam nota siasatan dan laporan polis yang dibuat mengenai penemuan tempat kejadian pada 6 November 2006 ketika Koh bersama pasukannya membawa tertuduh pertama, Azilah.

Koh berkata, kenyataannya mengenai catatan di dalam nota siasatan ketika di tempat kejadian, adalah perkataan sebenar yang digunakan oleh Azilah dan berbentuk "indirect speech" (tidak langsung).

Ketika ditanya ketiadaan perkataan "inilah tempatnya" dalam laporan polis manakala dalam nota siasatannya yang telah dibacakan sebelum ini di mahkamah mempunyai perkataan "inilah tempatnya perempuan Mongolia diletupkan", beliau berkata: "Kerana laporan polis ini saya buat secara umum, dan terperincinya saya sebut dalam percakapan saksi di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah."

Koh berkata, semua tindakannya berkaitan kes berprofil tinggi itu akan dilaporkan kepada Pegawai Turus Siasatan Khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Supt Zainol Samah dan dua pegawai penyiasat iaitu DSP Gan Tack Guan serta ASP Tonny Lunggan.

Tersilap jalan

Koh menganggap dirinya seorang yang teliti dalam mencatatkan sesuatu dan catatan masa yang dibuat sepanjang siasatannya adalah tepat termasuklah pendedahan maklumat oleh Azilah dibuat pada jam 5.23 petang, tempoh masa ketika berjumpa tempat kejadian pada jam 6.50 petang dan menyerahkan Sirul Azhar kepada penyiasat polis D6 pada 4.05 petang pada 6 November tahun lalu.

Dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwaraya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, saksi itu berkata kenyataannya pada perbicaraan semalam bahawa Azilah berkemungkinan tidak tahu di mana tempat kejadian membawa maksud Azilah tidak tahu lokasi tepat tempat tersebut.

Tun Abdul Majid: "Oleh kerana itu kamu tersilap jalan beberapa kali semasa dalam perjalanan?"

Koh: "Ya."

Tun Abdul Majid : "Dalam catatan nota siasatan, kamu beritahu bahawa apa yang kamu catat adalah indirect speech. Kenapa tidak kamu catat secara verbatim atau direct?"

Koh: "Bagi saya catatan yang disebut dalam indirect speech ini adalah memadai."

Ketika ditanya bagaimana beliau mengetahui pegawai cawangan soal-siasat Bukit Aman, (DSP) Zainudin Abdul Samah, ada berjumpa Azilah di IPK sebelum beliau mengambilnya untuk pergi ke tempat kejadian, Koh berkata : "Saya tidak lihat (pertemuan Azilah dan Zainuddin). Saya ada dengar (bahawa) Azilah disoalsiasat oleh pasukan Bukit Aman."

Koh berkata, dalam perjalanan ke tempat kejadian, Zainudin bercakap dengan Azilah tetapi beliau tidak perasan apa yang dicakapkan kerana memberi tumpuan kepada jalan yang ditunjukkan oleh Azilah.

Tun Abdul Majid : "Berkaitan panggilan telefon yang dibuat dan diterima oleh DSP Zainudin, kamu kata kamu tidak tahu. Adakah kamu dengar, lihat atau perasan DSP Zainudin terima atau buat panggilan telefon?"

Koh:" Saya tidak perasan."

Koh berkata, beliau dan pasukannya berhenti selama lima minit sahaja di satu simpang setelah diminta oleh Azilah untuk memerhatikan keadaan sekeliling, dan selepas itu, beliau diminta oleh Azilah untuk membuat

pusingan U dan masuk ke Puncak Niaga Empangan Tasik Subang Shah Alam, iaitu tempat kejadian.

Pertama di tempat kejadian

Katanya beliau dan pasukannya (termasuk Azilah) yang menaiki kenderaan Pajero ke tempat kejadian pada 6 November 2006 tidak mengikuti mana-mana kenderaan polis lain, dan ketika naik ke bukit untuk ke tempat kejadian, beliau tidak ingat sekiranya ada kenderaan lain yang berselisih dengannya.

"Setahu saya, pasukan saya yang mula-mula sampai di tempat kejadian. Sewaktu tiba tiada kenderaan lain, polis atau awam, di situ," katanya.

Ditanya apa yang dibuat oleh Zainudin di tempat kejadian, Koh berkata: "DSP Zainudin hanya memerhati sekeliling tempat kejadian selepas diberitahu oleh Azilah (bahawa) inilah tempat kejadian. Sebelum itu dia tidak berbuat apa-apa."

Katanya, sepanjang berada di tempat itu, Zainudin sentiasa berada berhampiran dengannya dan Azilah tetapi tidak mendengar sebarang arahan dari Zainudin kepada Azilah.

"DSP Zainudin tidak memberi apa-apa arahan kepada Azilah tetapi beliau ada bercakap-cakap dengan tertuduh pertama itu di tempat kejadian," katanya.

Ketika ditanya mengapa nama Zainudin tidak dimasukkan ke dalam laporan polis yang telah dibuat (selepas tempat kejadian ditemui), Koh berkata: "Beliau hanya mengikuti saya dan pasukan saya untuk cuba mencari tempat kejadian dengan dipandukan oleh Azilah.

"Sekiranya tempat kejadian tersebut berjaya ditemui, beliau boleh memerhati tempat kejadian tersebut untuk membantu tugasnya iaitu tugas soal siasat. Bagi saya, tugas saya dan anggota saya adalah cuba membawa Azilah mencari tempat kejadian. Sebab itu nama DSP Zainudin tidak dimasukkan dalam laporan ini."

Koh berkata, beliau juga tidak mendengar perkataan yang disebut oleh Azilah iaitu "tunjuk apa, saya tidak tahu tempat ini?" kepada Zainudin.

Bahan bukti

Ditanya mengenai keperluan untuk membuat catatan dalam percakapan langsung dan tidak langsung, Koh berkata: "Maklumat khusus saya akan buat dalam bentuk langsung dan dalam bentuk petikan. Bagi saya, maklumat yang didedahkan secara umum, saya akan buat dalam cara indirect. Walaubagaimanapun, kesemuanya terpulang kepada budi bicara saya."

Tun Abdul Majid: "Apa maksud kamu maklumat khusus?"

Koh: "Maklumat khusus di mana pendedahan maklumat mengatakan sesuatu dengan tepat, contohnya tempat tersebut, barang tersebut. Maklumat umum bagi saya adalah seperti saya tahu tempat itu, saya tahu barang itu disimpan di mana."

Koh juga berkata jarak 30 kaki (10 meter) antara tempat letupan dan kawasan tembakan yang dinyatakannya dalam perbicaraan lalu adalah anggarannya sahaja tanpa membuat sebarang ukuran terperinci.

Kepada soalan Tun Abdul Majid mengapa beliau tidak mencatatkan maklumat yang diberikan oleh Sirul Azhar dalam nota siasatannya, Koh berkata: "Ia kerana pendedahan maklumat oleh Sirul Azhar adalah kepada ASP Zulkarnain. Saya hanya membantu dari segi temubual dan tugas mengiring."

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin membenarkan laporan polis yang dibuat pada 6 November 2006 mengenai pertemuan tempat kejadian, ditandakan sebagai bahan bukti pihak pembelaan walaupun pada awalnya Tun Abdul Majid membantah kerana laporan itu bukannya percakapan beramaran tetapi satu dokumen terhad.