Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beza agama tak putuskan kasih Janakie pada bapa
Diterbitkan:  Apr 23, 2024 8:00 PM
Dikemaskini: Apr 25, 2024 5:27 AM

Perbezaan agama seringkali digambarkan sebagai penghalang dalam hubungan sesebuah keluarga.

Namun kisah seorang wanita Hindu, Janakie Krishnan, menziarahi pusara bapanya, Jaafar Abdullah yang beragama Islam, menjadi bukti kasih sayang seorang anak si ayah.

Lebih menarik, ziarah yang dilakukan Janakie dibuat sempena sambutan 1 Syawal baru-baru ini.

Video yang dimuat naik oleh Janakie Krishnan di aplikasi TikTok memperlihatkan detik-detik dia bersama suaminya membersihkan pusara Jaafar.

Kertebukaan serta sikap hormat ditunjukkan pasangan terbabit menarik perhatian ramai serta mengundang pujian orang ramai yang mengaitkan insiden itu dengan pentingnya hubungan baik antara agama di Malaysia dipelihara.

Kata Janakie dia bangga kerana dapat memenuhi tanggungjawab sebagai seorang anak untuk menguruskan jenazah Jaafar selepas bapanya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Menceritakan detik dilaluinya sebelum ini, Janakie berkata bapanya memeluk Islam semasa dia masih remaja dan mencetuskan suasana beremosi dalam keluarga mereka.

Sambil menyiram tanah kubur bapanya, Janakei memberitahu, keputusan bapanya memeluk Islam dulu sukar diterima oleh ahli keluarga pada peringkat awal.

"Banyak cabaran yang kami lalui sewaktu itu kerana tidak dapat menerima kenyataan.

"Terlalu banyak pergaduhan dan air mata (tumpah) ketika kami mengetahui ayah saya memeluk Islam.

"Bagaimanapun seiring dengan waktu, kami belajar untuk menerima dan menghormati pilihannya," kata Janakie sambil menatap sayu pusara bapanya.

Di sebalik perbezaan agama, kata Janakie, arwah bapanya menunjukkan contoh sebagai sebagai Muslim yang baik.

Misalnya, kata Janakie lagi, Jaafar rajin melaksanakan solat dan puasa, serta pada masa sama tetap bangga dengan keturunannya sebagai orang India.

“Hal ini yang membuatkan kami sekeluarga sangat menghormati dia dan juga kehidupan barunya.

"Kami tidak pernah membandingkan agama masing-masing kerana sewaktu bapa saya masih hidup, dia sentiasa mencuba untuk memperbaiki hubungan kami sekeluarga,” katanya lagi.

Apabila Jaafar meninggal dunia, Janakie berkata, dia dan suaminya cuba sebaik mungkin menguruskan jenazah mengikut kehendak Islam dan itu dianggap sebagai penghormatan terakhir mereka kepada lelaki terbabit.

Dalam hantaran sama, Janakie turut menekankan kepentingan semua orang menghormati perbezaan yang ada dalam kalangan penduduk Malaysia.

"Sebagai rakyat Malaysia, menghormati kehidupan masing-masing adalah sangat penting," katanya.


Membaca berita hari ini, memberi gambaran seolah-olah rakyat Malaysia sedang dan semakin berpecah belah.

Malaysiakini mahu membuktikan bahawa ini bukan realiti sebenar.

Jika anda mempunyai kisah muhibah tersendiri, sila kirimkan gambar dan keterangannya (maksimum 100 patah perkataan) kepada  [email protected],

Peserta yang terpilih akan dihadiahkan langganan percuma Malaysiakini selama sebulan.

Kempen ini berlangsung sepanjang April.

Lihat Komen
ADS