Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nahas heli TLDM: Muhammad Faisol minta bergambar kali terakhir - kakak
Diterbitkan:  Apr 23, 2024 9:54 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

“Kita bergambar dulu bertiga untuk kali terakhir ni, nanti saya balik Sabah tinggal dua.” Itu antara ungkapan Allahyarham Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun, 36, pada pagi Aidilfitri lepas yang masih terngiang-ngiang di telinga kakak sulungnya.

Muhammad Faisol merupakan seorang daripada 10 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas dua helikopter TLDM bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 9.32 pagi tadi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90.

Kakak Allahyarham, Noryani Tamadun, 50, berkata adik bongsunya itu bersungguh-sungguh mengajak dia bersama seorang lagi adik bergambar di pagi raya meskipun ketika itu mereka masih menunggu seorang lagi adik yang tinggal di Pahang tiba.

“Dia juga minta saya masak nasi berlauk ikan masin dan telur…‘last dah, takut tak dan’ (tak sempat) katanya. Dalam hati saya rasa pelik kenapa adik ni, tapi tak terluah di mulut ketika itu...kerap sangat dia sebut kali terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tanjung di Sik hari ini.

Menurutnya Muhammad Faisol atau lebih mesra dengan panggilan Dik Mat pulang ke Kedah seminggu sebelum Aidilfitri untuk beraya bersama keluarga sebelum pulang semula ke Sabah pada hari raya kedua dan tidak disangka ia menjadi pertemuan terakhir mereka.

Noryani berkata Allahyarham ada memintanya dan keluarga ke Pangkalan TLDM di Lumut untuk menyaksikan Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM tersebut awal bulan depan kerana dia terlibat dalam lintas hormat, tetapi terpaksa ditolak kerana jauh.

“Jadi, bila adik perempuan yang bekerja di Pahang telefon pada 10.15 pagi tadi dan beritahu adik bongsu kami meninggal dalam nahas itu, saya sangat terkejut sampai terduduk...memang tak sangka," katanya sambil mengakui tiada perubahan ketara pada tingkah laku Muhammad Faisol semasa pulang ke kampung baru-baru ini kecuali beberapa ungkapan tadi yang kedengaran agak pelik.

Menurut Noryani adiknya itu memang sangat rapat dengan semua adik-beradik dan turut memintanya membuat kuih siput kegemarannya untuk dibawa pulang ke Sabah.

“Dia sudah menetap di Sabah kira-kira dua tahun dan dijangka bertugas di Perak Disember ini...adik juga kata dia akan pencen dan mahu pulang ke kampung untuk menguruskan rumah peninggalan arwah emak di Kampung Tanah Hitam untuk dijadikan rumah inap,” katanya.

Tambahnya Muhammad Faisol juga memang meminati tentera laut sejak di bangku sekolah lagi dan selepas tamat tingkatan lima dia memohon untuk menyertai pasukan keselamatan itu sebelum berjaya diterima masuk.

Noryani berkata ibu mereka, Fatimah Abdullah, 68, meninggal dunia pada Ogos tahun lepas, manakala bapa, Tamadun Osman meninggal dunia Januari tahun yang sama pada usia 70 tahun.

Menurutnya Allahyarham Muhammad Faisol meninggalkan seorang isteri, Nor Syuhada, 37, dan dua orang anak perempuan berusia enam dan 10 tahun dan jenazah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam, di Sik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS