Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuduh laman-laman web membenarkan fitnah, pembohongan, maki hamun, penggunaan kata-kata kesat, keji dan bersifat perkauman disiarkan.

"Ini satu perkembangan tidak sihat. Walaupun kerajaan begitu toleran kepada pendirian anti-kerajaan dan kritikan yang dibuat dalam lamanweb, kita amat bimbang kepada kenyataan menghina agama dan berbau perkauman yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat," katanya.

Berucap pada Malam Hadiah Kewartawanan Malaysia 2007 anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) malam tadi, Najib berkata kebebasan menulis dan memberi pandangan ada hadnya sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang negara, demikian menurut laporan Bernama.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan pengendali dan wartawan lamanweb bahawa mereka tidak akan terlepas dari undang-undang negara sekiranya mengganggu-gugat dan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Najib juga mengingatkan mereka supaya menganggap sikap toleran kerajaan sebagai lesen untuk menyiarkan apa saja atas nama kebebasan bersuara tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.

"Kerajaan bertanggungjawab atas kesejahteraan masyarakat dan kita tidak akan membiarkan mana-mana pihak mengganggu gugat perpaduan negara ini dan menimbulkan keresahan dalam masyarakat,"

Beliau berkata pengendali lamanweb mesti menunjukkan sikap yang penuh tanggungjawab, berhati-hati dan teliti kerana sebagai penulis mereka seharusnya menghargai hasrat rakyat Malaysia untuk membina sebuah negara yang aman dan stabil.

Katanya, sikap tidak bertanggungjawab itu bercanggah dengan profesionalisme tinggi pengamal media serta melanggar etika kewartawanan, yang mengajar supaya melaporkan yang benar, bersikap objektif, saksama dan memperolehi maklumat dari sumber-sumber rasmi dan sahih.

'Kecenderungan peribadi'

Najib berkata kerajaan bimbang perkembangan dalam media alternatif ini kerana ada antara mereka yang menguruskan ruangan berdasarkan pandangan dan kecenderungan peribadi tanpa mengambil kira sensitiviti kaum dan agama negara.

"Wartawan mestilah mendapat fakta mereka dengan betul, laporan dalam konteks yang betul dan tepat. Sebarang laporan dan visual atau gambar pula hendaklah menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

Najib berkata ini berikutan teknologi komunikasi yang mengubah secara mendadak maklumat berbentuk berita dan rencana disebarkan tidak lagi perlu bergantung kepada media elektronik dan cetak sebagai pembekal tunggal maklumat dalam era globalisasi.

Bagaimanapun di sebalik perubahan-perubahan itu, wartawan kekal sebagai tenaga yang menukar maklumat menjadi laporan berita dan rencana lantaran penekanan melatih dalam jangka pendek dan berterusan kepada mereka secara bersungguh diperlukan supaya profesionalisme mereka kekal di tahap yang tinggi.

Wartawan juga perlu faham isu-isu tertentu yang menjadi asas kenegaraan terutama yang sensitif dan mereka yang lupa sejarah akan sesat jalan dan sukar mencari jalan ke hadapan bagi menemui pembangunan dan kemakmuran lebih besar.

"Wartawan Malaysia, baik yang mewakili arus perdana mahupun organisasi media baru hendaklah menjadikan sejarah sebagai `guiding principle'menghasilkan pelbagai genre laporan iaitu berita, rencana, komentar,

wawancara dan sebagainya," katanya.

Katanya, perbalahan isu dalam perbezaan agama, budaya dan adat ke media tidak membawa kepada penyelesaian malah boleh membawa kepada perpecahan dan persengketaan jika tidak ditangani dengan sikap penuh tanggungjawab.

Sebagai rakan kongsi media boleh membuat teguran dan mengkritik namun seharusnya bersifat membina, objektif, adil dan berasaskan fakta tepat supaya membantu kerajaan mengatasi kelemahan dan kepincangan sedia ada, memperbaiki sistem yang tidak berkesan dan meningkatkan akauntabiliti serta memperkemas pentadbiran.