Raja Petra Kamaruddin telah dipanggil ke balai polis daerah Dang Wangi di Jalan Tun HS Lee pagi ini - dua hari selepas laporan polis dibuat oleh Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Laporan polis itu dibuat terhadap Raja Petra berhubung komen dan artikel yang disiarkan dalam blog popularnya, Malaysia Today .

Isnin lalu, Muhd Taib memberitahu pemberita bahawa artikel tersebut menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agong.

Ketika dihubungi pagi tadi, Raja Petra berkata, beliau diminta hadir pada jam 11.15 pagi. Sehingga jam 5.14 petang ini, beliau masih lagi memberi keterangan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz berkata kerajaan tidak akan beragak-agak untuk menggunakan undang-undang sedia ada terhadap blogger yang tidak bertanggungjawab.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, undang-undang tersebut termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - yang memboleh penahanan tanpa bicara - serta Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 121b Kanun Keseksaan.

Menurut Nazri lagi, kerajaan telah banyak bersabar selama ini dan kini telah tiba masanya untuk mengambil tindakan.