Kesukaran mendapatkan pinjaman bank yang tinggi, tempoh pembayaran balik yang singkat serta harga kereta terpakai yang murah, mengakibatkan jualan keseluruhan kenderaan dalam separuh pertama tahun ini merosot kira-kira 30,000 unit.

Jumlah jualan dalam tempoh tersebut merosot daripada 251,340 tahun lalu kepada 220,739 tahun ini -- jatuh 12 peratus, kata Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad.

Menurutnya, jualan kereta penumpang merosot 12 peratus atau kira-kira 28,000 unit dalam tempoh yang sama -- daripada 228,323 tahun lalu kepada 200,454 tahun ini -- jatuh 12 peratus.

Katanya, ini disebabkan pembeli sukar mendapat pinjaman yang lebih tinggi dan tempoh pembayaran balik yang singkat serta harga kereta terpakai yang rendah, katanya, demikian menurut laporan Bernama.

Jualan kereta komersial juga merosot 12 peratus daripada 23,017 kepada 20,285 unit.

Jualan Jun, katanya, melonjak mendadak sebanyak 14.2 peratus atau 5,456 unit lebih tinggi berbanding dengan Mei ekoran pelancaran model VIVA oleh Perodua dan kempen secara agresif oleh syarikat pengedar kenderaan, khususnya Proton.

Volum jualan bulan Julai dijangka meneruskan trend menaik seperti yang dicatatkan dalam Jun, katanya.

Agihan pasaran

Perodua mencatatkan jualan tertinggi dalam separuh pertama 2007 dengan jualan 75,483 unit daripada 79,738 sebelum ini manakala Proton berada di tempat ke-dua dengan jualan 46,955 unit daripada 60,295.

Dalam tempoh itu, agihan Perodua dalam pasaran kereta meningkat kepada 34.2 peratus berbanding dengan 31.7 peratus manakala agihan Proton merosot kepada 21.3 peratus dalam separuh tahun pertama berbanding dengan 24 peratus dalam 2006.

Toyota mencatatkan jualan tertinggi bagi segmen kereta bukan nasional dengan jualan 36,567 unit dalam tempoh yang sama tahun ini berbanding dengan 42,002 unit sebelum ini, tetapi pasarannya merosot kepada 16.6 peratus daripada 16.7 peratus.

Honda mencatatkan tempat kedua tertinggi dengan jualan jualan 14,175 unit daripada 13,323 unit dengan mencatatkan agihan pasaran 6.4 peratus, diikuti rapat oleh Naza dan Nissan.

Pengeluaran dalam tempoh yang dikaji turun 25 peratus kepada 207,826 unit.

Bagi separuh tahun kedua, MAA menyatakan ia menjangka prestasi bagi tempoh itu bertambah baik daripada separuh tahun pertama, dengan jumlah jualan keseluruhan kenderaan mencatatkan 8.4 peratus lebih tinggi.

Aishah, yang mewakili Ford Malaysia Sdn Bhd dalam lembaga MAA berkata beliau menjangka unjuran jualan kenderaan keseluruhan yang lebih tinggi.

Ini berdasarkan pelancaran banyak model baru, kenaikan gaji kakitangan awam baru-baru ini dan pasaran saham yang kukuh, katanya.