Kempen desak mansuh Akujanji
Sekumpulan ahli akademik melancarkan kempen mendesak dimansuhkan Akujanji Universiti satu dokumen ikrar taat setia kepada kerajaan yang wajib ditandatangani oleh pelajar dan tenaga akademik universiti tempatan.
Sekumpulan ahli akademik melancarkan kempen mendesak dimansuhkan Akujanji Universiti satu dokumen ikrar taat setia kepada kerajaan yang wajib ditandatangani oleh pelajar dan tenaga akademik universiti tempatan.
Kempen tersebut diketuai oleh Dr Syed Husin Ali (kiri) dan Dr Lim Teck Ghee (kanan) dua bekas profesor di Universiti Malaya (UM), yang merupakan pusat pengajian tinggi tertua dan terkemuka di negara ini.
Petisyen bantahan tersebut telah diserahkan kepada kerajaan. Ia turut menyenaraikan 30 ahli akademik yang telah menandatanganinya sebagai tanda menyokong pemansuhan Akujanji tersebut.
Petisyen itu menyifatkan ikrar taat setia tersebut sebagai satu "halangan terhadap perkembangan sihat universiti" dan menuntut supaya ia dimansuhkan serta-merta.
Dalam satu kenyataan bersama, Dr Syed Husin dan Dr Lim berkata, Akujanji itu bukan setakat menyemai satu budaya takut, pasif dan pemikiran tidak kritikal di kampus.
Malah, kata mereka, ia turut menghakis hak asasi kebebasan untuk berpersatuan dan bersuara yang amat penting untuk dilindungi dan diperkuatkan jika negara mahu maju ke hadapan.
Menurutnya lagi, Akujanji itu bertentangan dengan kemajuan universiti di negara ini, kualiti mengajar dan kecemerlangan pendidikan.
Tidak sebut Nama
Daripada 40 ahli akademik yang menandatangani petisyen tersebut, 29 daripadanya tidak lagi mengajar di universiti masing-masing. (Lihat senarai penuh di bawah).
"Mereka yang menyokong ini termasuk ramai ahli akademik yang masih bertugas di universiti awam negara, termasuk sesetengah daripadanya yang sedang cuti belajar di luar negara.
"Mereka telah menulis untuk menyatakan sokongan mereka terhadap petisyen tersebut tetapi meminta supaya nama mereka tidak disiarkan," kata kenyataan tersebut.
Katanya, ramai kakitangan universiti tidak dapat menyiarkan nama mereka dalam senarai tersebut "kerana bimbang menjadi mangsa pihak berkuasa".
Antara nama besar yang turut menyokong petisyen tersebut ialah bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya, Drs Abu Bakar A Hamid.
Manakala mereka yang masih bertugas di universiti awam negara ialah Prof Dr Norchaya Talib, Prof Dr Loh Wei Leng, Prof Madya Dr Azmi Sharom, Prof Madya Dr Terence Gomez (foto) dan Prof Madya Dr Rosli Omar (semuanya Universiti Malaya), Prof Dr Wan Abdul Manan Wan Muda, Prof Dr Francis Loh Kok Wah dan Prof Madya Dr Khoo Boo Teik (Universiti Sains Malaysia), pensyarah Dr Mohamed Aslam Haneef dan Nur Barizah Abu Bakar (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan Felo penyelidik Wong Chin Huat (Universiti Kebangsaan Malaysia).
Pensyarah dipecat
Menurut petisyen tersebut, keperluan untuk menyatakan taat setia kepada kerajaan mengekang kebebasan akademik di Malaysia.
Ia juga mendesak kerajaan supaya mengambil semula Dr Azly Rahman dan Dr Mutiara Mohamad keduanya pensyarah di Universiti Utara Malaysia dan ahli akademik lain yang telah dipecat kerana enggan menandatangani Akujanji tersebut.
Azly (foto), yang kini sedang mengajar di Amerika Syarikat bersama isterinya, Dr Mutiara, juga merupakan kolumnis di lamanweb independent
malaysiakini
.
Selain ahli akademik, petisyen tersebut turut mendapat sokongan badan-badan bukan kerajaan.
Sejak tahun 2002, semua kakitangan awam dan pelajar serta kakitangan universiti tempatan diwajibkan menandatangani Akujanji. Berita asal

