Saksi nafi bawa Azilah ke lokasi pembunuhan untuk melibatkannya
Pegawai Penyiasat DSP Zainudin Abdul Samad menafikan beliau sudah mengetahui lokasi pembunuhan Altantuya Shaariibuu tetapi telah membawa tertuduh Cif Insp Azilah Hadri ke tempat kejadian dengan tujuan untuk "melibatkan" Azilah dan menunjukkan seolah-olah pegawai polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) itu yang memberi maklumat berhubung tempat kejadian.
Pegawai Penyiasat DSP Zainudin Abdul Samad menafikan beliau sudah mengetahui lokasi pembunuhan Altantuya Shaariibuu tetapi telah membawa tertuduh Cif Insp Azilah Hadri ke tempat kejadian dengan tujuan untuk "melibatkan" Azilah dan menunjukkan seolah-olah pegawai polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) itu yang memberi maklumat berhubung tempat kejadian.
Zainudin, 52, yang merupakan Ketua Cawangan Soal Siasat di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa beliau tidak berbuat sedemikian, sebaliknya Azilah yang telah memandu arah dan menunjukkan tempat di mana Altantuya ditembak sebelum diletupkan, demikian menurut laporan Bernama.
Katanya, beliau memperoleh maklumat dari Azilah yang menyatakan keinginannya untuk menunjukkan tempat kejadian pembunuhan itu secara teragak-agak kepada pegawai penyiasat ketika menyoal siasatnya dengan kaedah lemah lembut selama lima hari bermula 2 November tahun lalu di pejabat D9, Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur (IPKKL).
Ketika disoal oleh peguam Hazman Ahmad yang mewakili Azilah, saksi pendakwa ke-21 itu berkata beliau tidak menggunakan kaedah fizikal terhadap Azilah, mahupun memaki hamun, memperkecilkannya, menghina, memujuk, merayu, mendorong secara lemah lembut atau mengugutnya (Azilah) semasa "menemu bualnya".
Zainudin menafikan soalsiasat dengan kaedah lemah lembut merupakan penderaan mental tetapi mengakui kemungkinan penderaan mental adakalanya lebih teruk daripada penderaan fizikal.
Hazman: Saya katakan kepada kamu sepanjang perjalanan ke tempat kejadian, tertuduh pertama (Azilah) tidak pandu arah dan hanya bersembang biasa dengan kamu.
Zainudin: Saya tidak setuju.
Hazman: Saya katakan tertuduh pertama hanya diarah oleh kamu untuk ikut pergi ke tempat kejadian.
Zainudin: Saya tidak setuju.
Hazman: Saya katakan kepada kamu berkaitan pandu arah ke tempat kejadian, tertuduh hanya diamkan diri dan tidak berkata apa-apa.
Zainudin: Saya tidak tahu.
Hazman: Saya katakan sebelum berlepas ke tempat kejadian, polis telah ada maklumat mengenai tempat kejadian dan hanya bawa tertuduh pertama untuk tujuan "leading to recovery, not discovery".
Zainudin: Tidak setuju.
Tidak buat catatan
Azilah dan Kpl Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, pula didakwa bersubahat dengan mereka dalam melakukan pembunuhan itu. Jika disabit kesalahan, ketiga-tiga boleh dihukum mati.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah semalam, Zainudin telah memberi keterangan bahawa hasil dari "temubualnya" dengan Azilah, dia telah menyatakan keinginannya untuk menunjukkan tempat kejadian pembunuhan Altantuya secara teragak-agak.
Zainudin juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak membuat catatan mengenai perjalanan pasukan sisatan ke tempat kejadian, bukanlah bertujuan menyembunyikan fakta penting.
Beliau menolak cadangan yang beliau sengaja memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak membuat catatan itu, supaya beliau tidak perlu menjawab apa-apa mengenai penemuan tempat kejadian itu.
Ketika ditanya peguam Hazman, beliau bagaimanapun mengakui bahawa mengikut prosedur, buku catatan polis perlu diisi dengan pergerakan dan tugas yang dilakukan dan ia perlu dihantar setiap bulan untuk disemak oleh pegawai atasan.
Kertas siasatan
Dalam keterangannya pada hari ke-25 kes itu, Zainudin berkata dalam siasatannya, segala maklumat hanya dimasukkan dalam fail risikan tetapi catatan itu bukan bertujuan untuk perbicaraan seperti mana kertas siasatan.
Beliau menafikan tindakannya tidak mencatat dalam buku nota dan diari siasatan itu menyebabkan keterangannya berkaitan penemuan tempat kejadian itu tidak tepat dan tidak benar.
Ketika ditanya dalam pemeriksaan semula oleh Tun Majid, saksi itu berkata beliau tidak perlu mencatat berkaitan penemuan tempat kejadian kerana itu bukan tugas rasminya.
Zainudin berkata tindakannya ke situ hanyalah untuk melihat kawasan itu bagi memudahkannya menjalankan soal siasat.
"Saya pergi ke tempat kejadian pada 6 November tetapi saya tidak menjalankan siasatan di situ. Saya tidak perlu mencatatnya dalam diari siasatan memandangkan saya tidak menjalankan siasatan," katanya.
Zainudin, yang berpengalaman selama 31 tahun sebagai pegawai polis, sentiasa tenang sepanjang perbicaraan walaupun dia kerap kali ditengking oleh Hazman kerana banyak menjawab `tidak ingat' dan `tidak tahu'.
Tun Abdul Majid: "Kamu tidak diarahkan untuk pergi ke tempat kejadian,
tapi kamu beritahu mahkamah bahawa ianya atas kehendak diri sendiri. Adakah
ini untuk faedah kamu sendiri?
'Bukan tugas rasmi'
Zainudin: "Ia untuk memudahkan saya dalam menjalankan temubual seterusnya."
Tun Abdul Majid: "Jadi itu bukan tugas rasmi?"
Zainudin: "Bukan. Tugas rasmi saya tamat setelah saya serahkan Azilah ke dalam lokap."
Sementara itu, sewaktu pemeriksaan utama oleh Tun Majid, Zainudin memberitahu mahkamah bahawa Azilah adalah seorang yang bijak, suka berpuasa dan tidak suka bercakap bohong.
Katanya, sifat peribadi Azilah itu diketahuinya setelah dimaklumkan sendiri oleh Azilah ketika melakukan soal siasat selama lima hari bermula 2 November lalu.
Saksi itu berkata, hasil daripada "temubualnya" itu, Azilah telah menyatakan keinginannya untuk menunjukkan tempat kejadian pembunuhan Altantuya secara teragak-agak.
Saksi ke-21 pendakwaan itu berkata Azilah yang lahir di Sarikei, Sarawak dan mendapat pendidikan asas di negeri itu, juga suka berhibur dan "window shopping" dan di samping itu juga suka berpuasa dan telah berpuasa semasa dalam tahanan reman.
Katanya Azilah yang berpendidikan sehingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak ada masalah dalam menjalankan tugasnya malah telah menyatakan merasa seronok menjalankan tugasnya kerana kerap dapat pergi ke luar negara.
Zainudin berkata, Azilah yang datang daripada keluarga susah, mengakui bahawa dia mempunyai seorang kekasih bernama Norhaniza yang pada ketika itu bertugas di cawangan D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Kekasih Azilah
"Azilah banyak menyebut kekasihnya (Norhaniza) sebagai Ani," kata Zainudin sewaktu disoal oleh Hazman (foto).
L/Kpl Rohaniza Roslan ketika memberi keterangan di mahkamah sebelum ini telah menceritakan bahawa beliau turut berada di dalam kereta bersama Azilah dan Altantuya. Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa kali terakhir beliau melihat Altantuya ialah semasa wanita itu memasuki satu kenderaan lain iaitu kenderaan pacuan empat roda jenis Vitara yang dipandu seorang lelaki yang bertopi "hijau" dan keluar dari perkarangan Bukit Aman.
Zainudin menafikan bahawa Azilah ada memberitahunya bahawa dia (Azilah) ada seorang lagi kekasih yang mempunyai nama yang lebih kurang sama sepertinya iaitu "Azila".
Hazman: kamu bersetuju kamu gagal mendapatkan maklumat bahawa Azilah ada seorang lagi kekasih bernama Azila?
Zainudin: Saya tidak setuju
Saksi itu juga berkata Azilah pernah menjadi pegawai penyiasat jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang selama lima tahun sebelum diserapkan ke cawangan UTK.
Katanya, beliau diberitahu oleh Azilah bahawa antara tugasannya di UTK ialah menjadi pengiring kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan juga tugasan pengiring yang lain.
Hazman: Dia (Azilah) beritahu kamu dia hanya buat tugas escort (pengiring) sahaja? Tugas-tugas lain?
Zainudin: Saya cuma diberitahu itu sahaja.
Zainudin berkata Azilah juga memberitahunya bahawa dia mempunyai ramai adik-beradik (yang saksi tidak ingat jumlahnya) dan ibu bapanya yang sudah tua dan tidak lagi bekerja telah dibawa pindah dari Sarikei dan menyewa rumah di kawasan Sepang, Selangor.
"Dia (Azilah) juga memberitahu dia ada seorang anak angkat," kata Zainudin dan menurutnya Azilah tidak memberitahu umur dan jantina anak angkat itu kecuali anak itu masih kecil.
Zainudin juga berkata beliau tidak tahu apa kemahiran khusus Azilah di UTK.
Terdahulu, kepada soalan Hazman mengenai apakah perkara yang dibenci oleh Azilah, Zainudin berkata: "Dia (Azilah) beritahu saya dia tidak suka bercakap bohong."
Kepada soalan lain peguam bela itu, Zainudin menafikan bahawa Azilah telah disoal siasat dengan cara penderaan fizikal dan ugutan termasuk dengan mengatakan "Azilah kalau kamu tidak mahu bercakap, kami akan tuduh Ani (teman wanita Azilah, Lans Koperal Rohaniza Roslan).

