Polis soalsiasat Raja Petra selama 8 jam
Polis telah menyoalsiasat Raja Petra Kamarudin, webmaster bagi blog politik popular, Malaysia Today , selama hampir lapan jam hari ini berhubung laporan polis yang dibuat oleh Umno terhadap komen dan artikel yang disiarkan dalam blognya.
Polis telah menyoalsiasat Raja Petra Kamarudin, webmaster bagi blog politik popular, Malaysia Today , selama hampir lapan jam hari ini berhubung laporan polis yang dibuat oleh Umno terhadap komen dan artikel yang disiarkan dalam blognya.
Raja Petra, 57, tiba di balai polis daerah Dang Wangi di Jalan Tun HS Lee pada jam 11 pagi tadi, dengan ditemani isterinya, Marina Lee Abdullah, 51. Turut sama ialah Ketua Penerangan PKR, Tian Chua dan beberapa orang penyokong.
Soalsiasat tersebut bermula kira-kira jam 12.15 tengahari dan berakhir kira-kira jam 7.30 malam apabila Raja Petra muncul sambil tersenyum manakala para wartawan pula menunggu untuk mendapatkan komennya.
Raja Petra diminta hadir di balai polis tersebut untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat oleh Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib terhadapnya Isnin lalu.
Dalam laporannya itu, Muhd Taib mendakwa Raja Petra telah menyiarkan komen dan artikel yang menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agung.
Raja Petra memberitahu pemberita, yang pihak polis memintanya mendedahkan identiti orang yang membuat komen dalam blognya.
Katanya, beliau ditunjukkan senarai 12 komen yang disertakan bersama dalam laporan polis yang dibuat oleh Umno itu, dan polis mahu tahu siapakan penulis-penulis berkenaan.
Menurutnya, beliau enggan bercakap mengenainya kerana beliau tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen pembaca tersebut.
Hina apa?
Raja Petra juga berkata, beliau sebenarnya datang ke balai polis itu untuk mempertahankan dirinya terhadap tuduhan yang beliau telah menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agung.
"Saya telah membawa salasilah saya dan senashkah al-Quran. Saya mahu mereka tunjuk bagaimana saya menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Raja Petra yang merupakan anak saudara kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, mendakwa kenal baik dengan Yang di-Pertuan Agung, Sultan Mizan Zainal Abidin.
"Mereka kata, soalsiasat itu bukan mengenai artikel saya tetapi mengenai komen (pembaca). Saya enggan bercakap mengenai komen-komen tersebutkerana saya hanya akan bercakap mengenai apa yang saya tulis dan bukan yang orang lain tulis," katanya.
Raja Petra juga berkata, dia telah diminta menandatangani kenyataan beramaran setebal kira-kira 30 halaman.
Menurut isterinya, seorang pegawai polis menelefon Raja Petra pada kira-kira jam 8 pagi tadi memintanya datang ke balai polis tersebut. Berita asal

