Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fadhlina elak ulas laporan Bank Dunia pasal murid M'sia

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengelak menjawab soalan mengenai laporan Bank Dunia yang menyentuh sistem persekolahan negara.

“Hari ini pasal isu sekolah padat saja ya,” katanya ketika ditanya pemberita pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaaan Meru, Klang hari ini.

Laporan terbaru Bank Dunia bertajuk 'Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills' memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan berbanding pelajar Vietnam.

Ini walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK).

Laporan itu juga menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia didapati mahir membaca menjelang akhir Darjah 5, jauh lebih teruk dari rakan serantau (34 peratus berjuang dalam ekonomi yang serupa).

Pelajar Malaysia juga dilaporkan menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah tetapi pembelajaran bersamaan dengan hanya 8.9 tahun.

Sebaliknya, pelajar Vietnam mencapai 10.7 tahun pembelajaran dalam jangka masa yang sama, kata laporan Bank Dunia itu lagi.

Dalam perkembangan lain, Fadhilina berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang untuk menyediakan 'bilik darjah sementara' yang digelarnya sebagai “kelas terapung” bagi menangani isu sekolah padat.

“Jadi petang ini kita hadir ke sekolah ini (SMK Meru) untuk meninjau pengalaman, pentadbiran dan juga dinamika pengurusan bagaimana pentadbir sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menguruskan isu sekolah padat ini,” katanya selepas melawat sekolah itu.

Fadhlina berkata bilik darjah sementara itu akan menggunakan ruang lain dalam kawasan sekolah seperti bilik bahasa, makmal dan bengkel.

Kita tahu kaedah ini tidak boleh digunakan di semua sekolah, ia bergantung kepada dinamika atau keadaan serta fasiliti sesebuah sekolah tetapi untuk penyelesaian jangka pendek, formula ini mungkin boleh diterapkan di sekolah tertentu," katanya lagi.

Menteri itu mendedahkan terdapat 86 sekolah padat dengan murid di negara ini, dengan Selangor menduduki tempat pertama untuk bilangan sekolah paling ramai pelajar.

Sekolah padat itu akan mempunyai lebih 40 pelajar di dalam satu kelas, katanya.

Bergantung kepada keadaan sekolah, Fadhlina berkata kementerian akan menangani situasi kesesakan itu dengan sewajarnya.

Bagi sekolah yang tidak mempunyai ruang tambahan, KPM akan mencari penyelesaian lain, jelasnya

Lihat Komen
ADS