Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jumlah pelancong meningkat: Jangan ambil kesempatan naikkan harga - Tiong
Diterbitkan:  Apr 30, 2024 9:45 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

Ketibaan pelancong asing ke Malaysia dari Januari hingga Mac 2024 mencatatkan peningkatan 32.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Berkongsi angka itu pada satu acara di Kuala Lumpur petang ini, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing berkata Malaysia mengalu-alukan kedatangan 5.8 juta pelancong dalam tempoh tiga bulan pertama.

Menurutnya, 10 pasaran utama penjana pelancong ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Korea Selatan, United Kingdom, Australia dan Filipina.

Pada Februari lalu, Tiong mencetuskan kontroversi selepas dia menurunkan pangkat Ketua Pengarah Tourism Malaysia Ammar Abd Ghapar atas alasan tidak dapat melaksanakan tugas menarik pelancong ke Malaysia.

Susulan itu, pengarah lembaga promosi pelancongan (Tourism Malaysia) tampil menyokong Tiong dan perubahan strategiknya.

Menteri itu, yang berucap pada Networking Session Hala Tuju Strategik Pelancongan Malaysia Ke Arah VM2026, berkata pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari China dan India telah terbukti meningkatkan ketibaan pelancong.

“Oleh itu, kemudahan visa di samping peningkatan kebolehcapaian dan ketersambungan penerbangan serta menambah laluan tambahan melalui penerbangan sewa adalah bahagian penting dalam strategi untuk menarik kira-kira 36 juta ketibaan pelancong dan menjana RM150 bilion dalam resit pelancong untuk VM (Visit Malaysia) 2026,” katanya.

Tiong turut menggesa semua yang terlibat dalam sektor pelancongan termasuk hotel, restoran serta gerai penjaja supaya tidak menaikkan harga mereka.

“Apabila anda mempunyai lebih banyak perniagaan, tolong jangan ambil peluang ini untuk 'menyembelih' pelanggan anda.

"Kami menerima begitu banyak aduan mengenai harga yang terlalu tinggi," katanya sambil menambah bahawa tindakan sedemikian akan menjauhkan pelancong.

Pada masa yang sama, Tiong, yang berterima kasih kepada hotel atas sumbangan semasa pandemik Covid-19, merayu mereka untuk mempertimbangkan "menaik taraf dan melakukan pengubahsuaian".

“Kita juga telah menekankan dalam kabinet bahawa kita mahu Bank Pembangunan bersikap agresif dalam melaksanakan segala bantuan atau pemberian pinjaman kepada rakyat dalam industri pelancongan jika diperlukan.

“Jika mereka masih sangat perlahan, kami akan melibatkan bank perdagangan lain untuk mengambil alih. Kementerian Kewangan akan mempengerusikan mesyuarat untuk menyelesaikan masalah anda atau sebarang kesulitan yang anda hadapi.

“Kerajaan mempunyai rizab RM1 bilion untuk industri pelancongan untuk menaik taraf,” katanya.

Tiong juga berharap Tourism Malaysia akan menganjurkan sesi penglibatan dengan industri berkaitan tiga hingga empat kali setahun untuk memahami keperluan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

https://mk.my/wa_mkinibm


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS