Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Papagomo mengaku tidak bersalah hasut benci Agong

Bloger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghasut bagi mendatangkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bekas exco Pemuda Umno itu membuat pengakuan sejurus pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) yang mengadap Sultan Ibrahim.

Tertuduh membuat hantaran berkenaan di laman X di Bukit Bintang, di Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari, pada 29 April lalu.

Pertuduhan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya Khairul Azreem Mamat manakala tertuduh diwakili peguam Rafique Rashid Ali.

Terlebih dulu, Papagomo yang bergari dan memakai baju biru serta berseluar hitam tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 8.55 minit pagi.

Dia dikawal ketat polis sebelum dibawa masuk ke lobi mahkamah.

Kelmarin, polis memberkas Papagomo berdasarkan laporan yang dibuat terhadap video yang disiarkan di media sosial apabila dia mempertikai pertemuan Agong dengan pengasas KK Mart, Chai Kee Chan, pada kemuncak kontroversi mengenai stoking dicetak dengan kalimah Allah.

Dalam video sama, Papagomo juga mendakwa Sultan Ibrahim mengarahkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin didakwa mengikut Akta Hasutan.

Badrul Hisham sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menghasut dan mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap Agong.

Dua kes pertama dia didakwa berkaitan kontroversi KK Mart manakala pertuduhan ketiga berkaitan projek kasino yang didakwanya bakal dibuka di Forest City.

Sementara itu timbalan pendakwa raya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Papagomo atas faktor kesalahan yang didakwa dilakukan itu membabitkan Agong.

Bagaimanapun ia dibantah Rafique kerana menyifatkan kesalahan tertuduh adalah sesuatu yang boleh dijamin. Justeru dia memohon jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dikekalkan.

Siti Aminah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Hakim terbabit turut mengenakan syarat tambahan iaitu Papagomo perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan hingga kes tersebut selesai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS