Saya difitnah, kata bekas ketua AMK Perlis
Seorang bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis kesal dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan emel "kenyataannya" kononnya Ezam Mohd Noor menjadi punca beliau bertindak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Seorang bekas pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis kesal dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan emel "kenyataannya" kononnya Ezam Mohd Noor menjadi punca beliau bertindak meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sambil menafikan sekeras-kerasnya bahawa emel itu diedarkan olehnya, Ahmad Daud Che Abdul Ghani berkata, beliau menyedari mengenainya selepas dihubungi oleh rakan-rakannya untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Kenyataan lima perenggan itu menggunakan nama Ahmad Daud dan turut diemelkan kepada malaysiakini .
Emel itu berbunyi: "Saya, Ahmad Daud Che Abdul Ghani, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perlis mengisytiharkan diri keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan dengan itu menyertai Gerakan Demokrasi dan Anti- Korupsi (Gerak) berkuatkuasa pada hari ini, Selasa, 24 Julai 2007.
Saya ingin jelaskan di sini, saya mengambil pendirian ini kerana saya telah dijanjikan oleh Ezam Mohd Noor dengan projek membekalkan makanan udang harimau di Kerpan, Kedah.
Selepas ini juga, saya akan ke Indonesia bersama Ezam untuk berjumpa dengan Yusuf Kala, pimpinan kerajaan Indonesia bagi berbincang tentang projek yang agak besar juga.
Ezam juga berjanji untuk melantik saya sebagai setiausaha politiknya apabila dia jadi menteri nanti.
Saya harap pimpinan Parti Keadilan Rakyat sudi memaafkan saya. Saya tetap akan berjuang!
'Ezam tidak tahu'
Ketika ditanya mengenai kenyataan itu, Ahmad Daud berkata: "Saya tidak dijanjikan sebarang projek oleh Ezam, malah tindakan saya ini bukan didorong oleh beliau tetapi saya keluar AMK atas kerelaan sendiri.
"Ezam pada mulanya tidak tahu saya keluar AMK sehingga laporan tersebut keluar dalam akhbar. Beliau kemudian menelefon saya untuk mendapatkan pengesahan," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Ezam meletakkan jawatan dan keluar dari PKR April lalu untuk menumpukan sepenuh masa terhadap aktiviti Gerak sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menumpukan perhatian terhadap usaha memerangi rasuah.
Ahmad Daud menyifatkan penyebaran emel tersebut sebagai satu satu fitnah dan pembohongan yang bertujuan untuk memburuk-burukkan namanya.
Beliau menjadi ketua AMK Perlis selepas pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan, Perlis pada 2003 sehingga Kongres Nasional PKR di Seremban, April lalu.
Ahmad Daud berkata, beliau mengambil keputusan keluar AMK bersama 57 penyokongnya kerana membantah sikap pemimpin utama PKR yang didakwanya tidak mempedulikan kepimpinan peringkat bawah.
"Mana mungkin saya akan mendapat projek ternakan membekalkan makanan udang harimau kerana saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang tersebut," katanya.
Sah sertai Gerak
Bagaimanapun, Ahmad Daud mengesahkan beliau memang menyertai Gerak yang dipimpin oleh Ezam, selepas keluar dari PKR.
Sementara itu, Ezam ketika dihubungi
malaysiakini
hari ini mendakwa fitnah itu disebarkan oleh mereka yang mahu memburuk-burukkan namanya.
"Mereka menganggap saya musuh sebaik saya meninggalkan PKR, termasuk mendakwa saya mempengaruhi ahli dan pemimpin AMK yang lain supaya meninggalkan AMK dan menyertai Gerak.
"Gerak tidak memerlukan penyokong dan ahli...kami hanya perlu isu," katanya.
Ezam berkata, beliau juga berdepan dengan pelbagai fitnah termasuk didakwa mahu menyertai semula Umno.
Katanya, beliau tidak mahu melayan fitnah sedemikian rupa tetapi sebaliknya mahu menumpukan perhatian kepada Gerak yang.diasaskan kira-kira setahun lalu.

