Ku Li: Keistimewaan Melayu hanyalah 'jaring keselamatan sementara'
Hambatan global melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), menuntut kerajaan mempercepatkan proses agar orang Melayu tidak lagi bergantung kepada keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan, kata bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.
Hambatan global melalui pelbagai perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), menuntut kerajaan mempercepatkan proses agar orang Melayu tidak lagi bergantung kepada keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan, kata bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.
Katanya, orang Melayu perlu sedar bahawa perlindungan dan keistimewaan yang diberi oleh kerajaan untuk memajukan ekonomi mereka, terutamanya dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), hanyalah "jaring keselamatan" yang bersifat sementara.
Jaring keselamatan itu, katanya, disediakan oleh kerajaan agar orang Melayu tidak jatuh tersembam dalam perjalanan hidup, demikian menurut laporan Bernama.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, meminta orang Melayu supaya cepat belajar agar tidak lagi perlu bergantung kepada bantuan seumpamanya.
"Untuk maju, mereka tak boleh bergantung kepada jaring itu selama-lamanya. Mereka mesti ke depan mengatur langkah sendiri untuk naik setinggi-tingginya," katanya ketika menyampaikan ucapan bertajuk "Pembangunan Ekonomi Melayu dan Perpaduan" di majlis Syarahan Za'ba 2007 di ibunegara hari ini.
Tengku Razaleigh berkata, DEB, yang merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan dan mengangkat martabat orang Melayu dalam masa singkat, juga dilihat sebagai telah melindungi negara daripada terjebak ke dalam perbalahan kaum sewaktu krisis kewangan 1997.
"Walaupun dasar ini gagal mencapai matlamat sepenuhnya, tetapi ia telah memberi wajah baru kepada negara ini, iaitu keyakinan rakyatnya bahawa walaupun kita berbilang kaum, tetapi kecemburuan kaum tidak lagi diasaskan kepada pentakrifan ekonomi," kata Tengku Razaleigh.
Perjuangan pahit
Keyakinan itu juga, tegasnya, telah membolehkan negara menjaja keluar tentang model Malaysia sebagai sebuah negara yang dipandang harmoni, terutamanya kini, di mana punca konflik dunia tidak lagi pada perbezaan ideologi, tetapi mengenai pertelagahan etnik, budaya dan tamadun.
Menurutnya, nasib yang baik yang dinikmati oleh Malaysia bukannya satu kebetulan, seperti mana tanggapan sesetengah pihak, sebaliknya ia telah menuntut suatu perjuangan yang pahit dan sukar.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Tengku Razaleigh berkata orang Melayu perlu cepat mendapatkan ilmu dan kemahiran agar negara tidak lagi perlu bergantung kepada pihak luar.
"Sebenarya pertolongan yang diberikan oleh kerajaan tidak seberapa, kerana yang diberi sebenarnya adalah peluang. Yang jadi masalahnya orang yang salah guna peluang yang diberi, itu yang melambatkan proses untuk melahirkan golongan Melayu yang berilmu.
"Jika cepat mereka mendapat semua ini (ilmu dan kemahiran), lagi cepat kemudahan yang disampaikan boleh ditarik balik. Tetapi ini akan memakan masa juga...bukannya, hari ini sekolah, esok sudah boleh masuk universiti," katanya.
Syarahan Za'ba yang dianjurkan oleh Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, merupakan siri syarahan mengenai keilmuan Melayu oleh tokoh-tokoh utama dalam dan luar negara.

