Pemimpin Umno bahagian sokong Najib
Beberapa pemimpin Umno sepakat bahawa pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa Malaysia sebuah negara Islam, perlu diterima semua pihak dan tidak harus dipertikaikan lagi.
Beberapa pemimpin Umno sepakat bahawa pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa Malaysia sebuah negara Islam, perlu diterima semua pihak dan tidak harus dipertikaikan lagi.
Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof berkata, cuma sebilangan kecil individu tertentu yang tidak mengaku Malaysia sebuah negara Islam tetapi ia bukan persoalan utama.
Ketika dihubungi malaysiakini , timbalan ketua Umno bahagian Jasin itu berkata, oleh itu semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.
Pengumuman Najib itu dibantah oleh Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan yang menyifatkan Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Mohd Said berkata, bantahan Setiausaha Agung MCA itu lebih bersifat individu kerana mungkin mereka tidak faham kerana Malaysia berbeza dengan negara-negara Islam lain.
"Apabila orang tidak faham, mereka akan membuat pelbagai tanggapan termasuk menganggap Malaysia bukan negara Islam," katanya.
Beliau berkata, pemimpin MCA sendiri menerima baik konsep negara Islam semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, Ketua Umno bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail berkata sepatutnya tidak ada pihak lagi yang mempertikaikan bahawa Malaysia sebuah negara Islam.
Tarik pengundi
Sebaliknya beliau mendakwa, MCA membangkitkan isu tersebut semata-mata untuk menarik pengundi kaum Cina supaya menyokong parti itu dalam pilihanraya umum akan datang.
"Malaysia memang diketahui umum sebagai negara Islam, walaupun penduduknya yang beragama Islam tidak seramai di negara-negara Islam lain," katanya.
Ishak berkata, sepatutnya pemimpin Umno berani menegur pemimpin MCA tersebut dan bukannya membuat teguran secara umum sahaja.
Katanya, apa yang berlaku hari ini ialah pemimpin Umno hanya berani sesama Melayu sahaja kerana mereka tahu orang Melayu sangat setia kepada parti.
Ketua Umno bahagian Umno Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin pula berkata, negara Islam telah lama dilaksanakan di negara ini dan ia tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada rakyatnya yang berbilang kaum dan agama.
Beliau berkata, walaupun Malaysia sebuah negara Islam, hak orang bukan Islam tetap dibela dan dilindungi sebagaimana yang diperolehi oleh orang Islam itu sendiri.
"Mengapa takut sangat dengan negara Islam kerana konsepnya telah lama dilaksanakan di negara ini dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada rakyatnya termasuk kepada kaum bukan Islam," katanya lagi.
Kelmarin, Dr Mahathir juga menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam sama ada ia ditulis oleh Perlembagaan Negara atau tidak.

