Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sedang membicarakan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, hari ini tidak menerima sebagai bukti, maklumat mengenai lokasi kejadian yang diberikan kepada polis oleh tertuduh kedua, Kpl Sirul Azhar Umar.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan menerusi saksinya yang ke-22, Cif Insp Kamaroszaman Othman, tidak boleh diterima kerana maklumat yang diberikan kepada pegawai polis itu oleh Sirul Azhar dalam soal siasat pada 6 November tahun lalu, tidak memenuhi kehendak Seksyen 8 Akta Keterangan 1950.

Pihak pendakwaan mahukan maklumat itu diterima sebagai bukti mengikut Seksyen 8 bagi menunjukkan terdapat pendedahan oleh Sirul Azhar, yang membantu polis menemui tempat kejadian, demikian menurut laporan Bernama.

Mohd Zaki berkata maklumat yang diberikan oleh Sirul Azhar merupakan satu satu kenyataan, sedangkan Seksyen 8, tidak merangkumi kenyataan.

Katanya maklumat yang diberikan oleh Sirul Azhar juga tidak termasuk dalam Seksyen 27 Akta Keterangan 1950.

Sirul Azhar, 36, dan Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya di satu kawasan di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu. Manakala penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, dituduh bersubahat dengan mereka, dan jika disabit kesalahan, kesemuanya boleh dihukum mati.

Perlu dibuktikan

Mengikut Seksyen 27, maklumat yang diberikan oleh tertuduh sehingga terjumpanya tempat kejadian, perlu dibuktikan sama ada ianya merupakan satu pengakuan bersalah atau tidak.

Sebelum itu, Kamaroszaman, 44, dari Cawangan Soal Siasat D6A, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, memberitahu mahkamah bahawa maklumat yang beliau peroleh dari Sirul Azhar semasa soalsiasat telah membantu polis menemui tempat kejadian.

Peguambela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin, bangun dan membantah keterangan itu diterima sebagai keterangan kerana ia tertakluk kepada Seksyen 27.

Timbalan Pendakwaraya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, berkata pihak pendakwaan bukannya cuba mendapatkan keterangan mengikut Seksyen 27 tetapi mahu keterangan Kamaroszaman diterima mengikut Seksyen 8.

Kamaroszaman juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu lokasi sebenar kerana beliau sekadar mengikut satu pasukan anggota polis ke situ.

Pada 10 Julai lalu, mahkamah yang sama menolak keterangan bahawa Sirul Azhar telah mengaku melakukan kesalahan itu.

Soal siasat 20 minit sahaja

Sementara itu, Kamaroszaman yang menyoal siasat Sirul memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya mengambil masa 20 minit untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat kejadian.

Katanya, soal siasat itu dijalankan oleh beliau seorang sahaja bermula jam 4.10 petang 6 November 2006.

Bagaimanapun Hakim Datuk Mohd Zaki tidak membenarkan maklumat mengenai tempat kejadian itu direkodkan setelah dibantah oleh peguam Kamarul Hisham yang mewakili Sirul.

Kamaroszaman berkata beliau menerima arahan menjalankan soal siasat dari ketuanya DSP Zainudin Abdul Samad.

Katanya, Sirul diserahkan kepada beliau dan tiga lagi anggota polis dalam keadaan tangannya bergari di belakang oleh Cif Insp Koh Fei Cheow.

Kamaroszaman berkata, setelah mendapat maklumat mengenai tempat kejadian itu, beliau mengarahkan anggotanya, Detektif Lans Koperal C Siva Kumar, memanggil Koh untuk membawa keluar Sirul Azhar.

Katanya, Koh kemudiannya datang bersama pegawai penyiasat, ASP Tonny Lunggan, dan selepas itu beliau memaklumkan kepada pegawai itu mengenai maklumat yang diberi oleh Sirul.

"Selepas memberitahu ASP Tonny, saya beritahu anggota saya penugasan soal siasat untuk hari itu telah selesai," kata saksi itu yang sentiasa bersuara lantang.