Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah meramalkan bahawa pilihanraya umum ke-12 akan diadakan pada Februari tahun depan dan bukan tahun ini.

"Terlalu awal untuk diadakan pada tahun ini kerana Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) baru sahaja dimulakan...belum lagi menampakkan apa yang telah dilakukan kepada orang ramai setakat ini.

"Jadi jika ada memperuntukkan pilihanraya umum selepas Hari Raya Puasa, saya fikir adalah terlalu awal," kata beliau sambil menambah bahawa ini adalah dalam tangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memutuskan mengenai tarikhnya.

Menurut laporan Bernama, Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pensyarahan umum Zaa'ba di Universiti Malaya di sini hari ini.

Mengenai sebab asas beliau mengatakan bahawa pilihanraya umum itu tidak diadakan tahun ini, katanya ini berdasarkan pada pengumuman Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) baru-baru ini bahawa ia hanya bersedia

selepas September ini.

"Suruhanjaya itu membayangkan bahawa ia tidak bersedia sebelum ... tetapi selepas September.

"Kita juga ada masalah besar, rakyat yang belum lagi mendaftar sebagai pengundi... kita mempunyai kira-kira 200,000 pengundi yang layak mengundi di Kelantan tetapi belum mendaftar," kata beliau sambil menambah ia memerlukan sedikit usaha untuk memastikan mereka mendaftar.

Semalam, Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) telah diarahkan supaya bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum awal tahun depan.

Mereka dimaklumkan mengenai perkara itu dalam mesyuarat tertinggi BN yang dipengerusi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.