Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas timbalan speaker Dewan Negara bukan lagi ahli Umno
  • Terdapat sedikit pindaan dibuat terhadap laporan ini supaya maklumat disampaikan lebih tepat.


Umno mengesahkan pelucutan keahlian bekas timbalan speaker Dewan Negara Mohamad Ali Mohamad yang didakwa telah mengubah haluan dengan menyertai Bersatu.

Keputusan untuk memecat bekas ketua Umno bahagian Tangga Batu itu dibuat pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi Jumaat lalu.

"Mesyuarat MKT Jumaat lalu mengesahkan pemecatan Mohamad Ali yang didapati telah menyertai Bersatu.

"Mohamad Ali merupakan bekas ketua Umno Tangga Batu. Berdasarkan perlembagaan parti mana-mana individu yang menyertai parti lain akan gugur keahliannya selepas disahkan MKT.

"MKT telah mengesahkan pengguguran keahlian itu," kata seorang ahli MKT yang enggan namanya didedahkan.

Berdasarkan perlembagaan Umno, seseorang anggota itu gugur keanggotannya dalam parti jika menyertai parti lain dan ia perlu disahkan oleh MKT Umno.

Pada 28 April lalu, Setiausaha Agungnya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata parti itu akan membincangkan kedudukan bekas timbalan pengerusi Umno Melaka itu yang dikatakan sudah mengemukakan borang menyertai Bersatu dalam mesyuarat MKT.

Asyraf berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama presiden Umno selepas aduan rasmi daripada Umno bahagian Tangga Batu diperoleh, baru-baru ini.

Katanya, menerusi aduan berkenaan, bahagian itu turut mengemukakan beberapa bukti Mohamad Ali sudah menjadi ahli Bersatu.

"Kita akan bincang pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) minggu depan dan jika terbukti dia sudah menjadi ahli Bersatu, maka keahliannya (dalam Umno) akan tergugur," kata Asyraf.

Sementara itu Mohamad Ali ketika dihubungi memaklumkan yang dia belum menerima sebarang surat daripada Umno berhubung pemecatannya.

"Belum lagi (terima sebarang surat pemecatan)," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya sama ada dia akan mengemukakan rayuan sekiranya benar telah dipecat oleh Umno, Mohamad berkata perkara itu akan dimaklumkan bila tiba masa sesuai.

"Nanti saya maklum pada masa sesuai," katanya lagi.

Sementara itu, Mohamad Ali dalam satu hantaran di Facebooknya mendakwa keputusan Umno memecatnya sudah dijangka.

Namun, katanya, ia bukan penghalang ataupun penamat kepada perjuangannya untuk mengangkat orang Melayu.

"Keputusan ini saya sudah jangkakan. Ini bukanlah penamat bagi saya untuk memperjuangkan nasib orang melayu, membela Islam serta mengangkat martabat negara.

"Ini semua perkara biasa dalam politik,dan lumrah politik. Perjuangan pasti akan diteruskan, saya yakin saya tidak berseorang dalam perjuangan ini," tulisnya di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS