Pengeluar kereta nasional, Proton, kini bersedia untuk mencatatkan perolehan beberapa bilion ringgit dalam tempoh enam tahun akan datang hasil usahasamanya dengan pengeluar kereta China, Youngman Automobile Group Ltd Co.

Pengarah urusan Proton Datuk Syed Zainal Abidin berkata perjanjian untuk mengeksport 30,000 unit kereta Gen.2 siap dipasang kepada Youngman untuk tempoh 20 bulan akan datang akan menghasilkan perolehan RM937 juta dan royalti RM102 juta, demikian menurut laporan Bernama.

Yang lebih lumayan ialah perjanjian pelesenan yang ditandatangani pada 15 Julai mengenai enjin Campro, di mana Proton akan menjual 150,000 unit terurai untuk dipasang dalam tempoh enam tahun akan datang, katanya.

Ini, yang ditambah dengan bekalan kepada Youngman dan pembayaran royalti bagi pengeluaran bahagian-bahagian ganti di negara itu, akan menjadikannya bernilai beberapa bilion ringgit, katanya di Shah Alam semalam.

Perolehan itu dianggarkan berdasarkan harga kereta di China antara 125,000 dan 130,000 renmimbi, yang lebih murah dari kereta Korea Selatan di China tetapi lebih mahal dari kereta tempatan.

Youngman, pengeluar utama kereta China yang diberikan lesen oleh pihak berkuasa China untuk mengeluarkan kenderaan penumpang, akan mengeluarkan keretanya di kilang barunya di Jinan, ibu wilayah Shandong di barat daya Shanghai.

Kajian di Shanghai dan Quangzhou serta penyertaan dalam pameran kereta utama menunjukkan para pengguna berminat membeli kereta Proton, katanya.

Penembusan pasaran

"(Lagipun) Kereta penumpang adalah segmen kian berkembang terbesar di China, pada kadar 30-40 peratus telah mengatasi 10 peratus pertumbuhan volum keseluruhan industri itu, kata Syed Zainal.

Selain mempercepatkan keupayaan pengeluaran Youngman, katanya persetujuan itu merupakan "penembusan satu pasaran yang sangat berdaya saing" manakala Proton mendapat keuntungan daripada bekalan dan royalti alat ganti.

"Mereka meminta dikeluarkan alat ganti di China, yang bermakna menerima royalti kira-kira RM62 juta," katanya, sambil menyatakan Gen.2, yang bakal diubah suai akan dijual menggunakan jenama "Europestar" di mana ia membantu meningkatkan pengeluaran antara 1,000 dan 1,200 unit sebulan di kilangnya di Tanjung Malim."

"Ia bagus bagi vendor dan meningkatkan keupayaan penambahbaikan," katanya.

Youngman, yang menguasai 70 peratus pasaran kereta mewah di China, mahu mempelbagaikan pasaran kereta penumpang secara besar-besaran dengan membangunkan satu siri kereta selepas diambil kira saiz pasaran kereta di republik itu," katanya.

Mereka akan menggunakan kepakaran anak syarikat Proton di UK, Lotus, untuk mereka bentuk kereta itu tetapi Lotus, yang mahir dalam kejuruteraan, memerlukan satu asas dan platform, akan menggunakan platform Gen.2.

Lotus bakal menerima RM195 juta bagi perolehan kejuruteraan mereka bentuk kereta itu.

Harta intelek

"Kami hanya memberi mereka (Youngman) lesen tetapi Proton memegang hak harta intelek. Kami mendapat satu perjanjian pakej, sepetrti yang dilakukan oleh Mitsubishi dan Proton," katanya, yang merujuk mengenai persetujuan bersama syarikat Jepun itu dengan Proton dalam 1985.

Hubungan Mitsubishi dengan Proton berakhir beberapa tahun lepas dan Proton kini berbincang dengan Volkswagen dan General Motors bagikemungkinan diadakan ikatan strategik.

Katanya Youngman "akan bayar kami fi lesen menggunakan enjin Gen.2 dan Campro bagi setiap kereta yang mereka keluarkan."

"Jadi mereka perlu bayar lesen dam bagi platform ," katanya.

Kenderaan baru dari platform Gen.2 dan Campro itu akan dizahirkan dalam tempoh 18-20 bulan, katanya, sambil menyatakan ia akan membuka peluang bekalan alat ganti di China bagi 30,000 unit kereta.

Katanya penggunaan alat ganti tempatan perlu mendapat kelulusan Proton, yang dilindungi mengikut undang-undang.

Proton meilih Youngman kerana ia sedang melabur untuk mengembangkan perniagaan itu dan menguasai 70 peratus pasaran kereta mewah di China serta mengeluarkan 40 buah bas setiap hari dan pengerusi Youngman sendiri,Pang Qingnian disegani dalam industri kereta.

Permintaan besar

Syed Zainal berkata Pang berpengalaman dalam pengeluaran bas berkualiti mengikut kualiti teknologi Jerman, satu pengurusan yang baik yang diperolehi dari pengeluar kereta China yang lain, Geely dan Cherry, serta mendapat sokongan kukuh kerajaan dan kewangan.

Beliau juga mempunyai sebuah kilang yang mengeksport ke seberang laut dan sedang membina lebih banyak kilang yang dibiayai oleh kerajaan. Salah satunya terletak di Jinan, di barat daya Shanghai.

Mengenai peluang yang ada, kini wujud permintaan besar mendapatkan teksi kerajaan di China.

Syarikat itu kini mempunyai bahagian bas, bahagian kereta penumbang dan bahagian peralatan.

Syed Zainal berkata prospek yang ada adalah cerah kerana Wilayah Shandong sendiri mempunyai 90 juta penduduk, kadar pertumbuhan per kapita 14.5 peratus manakala Jinan disfatkan sebagai hub logistik China.