Polis sedang menyiasat kemungkinan berlaku perbuatan jenayah dalam kes kematian seorang pelakon wanita India terkenal tempatan yang juga merupakan bekas setiausaha peribadi kepada anak lelaki seorang menteri kanan kabinet.

Ketika dihubung hari ini, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP K Kumaran mengesahkan bahawa pegawainya sedang menyiasat kematian K Sujatha.

"Kita akan menyiasat punca kematiannya dan sama ada wujud unsur-unsur jenayah, kita (juga) tidak menolak kemungkinan bunuh diri. Kita kemudiannya akan lihat sama ada perlu diadakan inkues.

"Masih terlalu awal untuk menyatakan apa yang telah berlaku kepada Sujatha," tambahnya.

Berikutan kematian Sujatha, sebuah akhbar berbahasa Tamil telah melaporkan bahawa dia mati akibat satu 'penyakit misteri'. Mayatnya telah disemadikan melalui pembakaran.

Pelakon wanita berusia 29 tahun ini mati di apartmennya di Jalan Ipoh, Sentuk pada 25 Jun lalu. Mayatnya kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedahsiasat.

Laporan polis

Kumaran memberitahu status kes tersebut apabila diminta mengulas laporan yang dibuat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat, S Manickavasagam di balai polis daerah Brickfields pagi ini.

Laporan tersebut berhubung dengan suasana sekitar kematian Sujatha, berdasarkan kepada sepucuk surat yang diterimanya melalui pos ekspres dari seorang yang tidak dikenali.

Surat tersebut diposkan dari Jelapang, Ipoh, di Perak dan dialamatkan kepada ibupejabat PKR di Brickfields.

Surat yang ditulis dalam bahasa Malaysia pasar itu mendakwa anak lelaki menteri kanan kabinet itu terbabit dalam kematian Sujatha dan meminta bantuan parti pembangkang tersebut.

Penulis surat itu turut menamakan menteri berkenaan dan anak lelakinya itu. Surat itu juga mendakwa Kumaran menerima rasuah supaya menutup kes tersebut.

Kumaran, bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut.

'Tuduhan serius'

"Saya belum lihat laporan polis (yang dibuat oleh Manickavasagam). Saya hanya tahu mengenainya malam tadi bila saya menerima SMS mengenainya.

"Siasatan sedang dijalankan. Saya dan pegawai saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan. Kita tidak takut. Saya pandang berat mengapa nama saya dikaitkan kerana saya pasti yang saya telah mengarahkan satu siasatan yang adil dijalankan," katanya.

Kumaran berkata, beliau akan mendapatkan salinan laporan polis yang dibuat oleh Manickavasagam sebelum menimbang tindakan selanjutnya.

Bercakap kepada pemberi kemudiannya, Manickavasagam menggesa polis mengambil tindakan segera menyiasat tuduhan yang serius dalam surat tersebut.

Dia juga ingin tahu mengapa mayat Sujatha dibawa ke Tengku Ampuan Rahimah Hospital di Klang sedangkan Hospital Kuala Lumpur terletak lebih dekat dengan rumah mangsa. Berita asal