Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berterima kasih kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana menyegerakan penyiasatan terhadap dakwaan beliau menerima rasuah RM2 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan BPR terhadap Musa ditutup kerana tiada keterangan yang boleh mengaitkannya dengan dakwaan tersebut.

"Saya berterima kasih kepada BPR kerana menyegerakan penyiasatan dan saya percaya tiada lagi spekulasi mengenai perkara itu.

"Sekarang semua kembali normal," katanya kepada Bernama malam tadi, ketika diminta diminta mengulas kenyataan Gani mengenai perkara itu.

Musa berkata, beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya semasa disiasat BPR.

"BPR buat kerja mereka dan saya beri kerjsama penuh untuk membersihkan nama saya," katanya.

BPR membuka satu kertas siasatan pada 18 Jun 2007 dan menjalankan siasatan rapi, termasuk mengambil percakapan pihak-pihak yang dikatakan membayar wang RM2 juta kepada Musa dan keenam-enam saksi yang dikatakan telah mengaitkan ketiga-tiga subjek (tahanan) berkenaan sebagai anggota sindiket judi haram.

Siasat pegawai kanan

Sementara itu, Musa menasihatkan seorang pegawai kanan polis di Bukit Aman yang kini disiasat BPR supaya membersihkan namanya dengan memberi

kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

Katanya, ia bagi menyegerakan siasatan BPR dan mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh memburukkan keadaan.

"Siasatan BPR adalah prosedur biasa. Biarkan mereka melengkapkan siasatan dan ini mungkin mengambil masa.

"Saya percaya pegawai saya. Jika mereka di landasan yang betul, tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya kepada Bernama.

Ahkbar melaporkan semalam mengenai seorang pegawai kanan polis Bukit Aman disiasat BPR kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan gagal mengisytiharkan harta bernilai jutaan ringgit.

Pegawai kanan itu juga didakwa mengeluarkan arahan untuk menahan beberapa penduduk di Lahad Datu, Sabah, apabila mereka membantah projek

pembangunan oleh sebuah syarikat yang pegawai itu merupakan pengarahnya.

Keterangan penduduk

Dalam perkembangan berkaitan, BPR akan mengambil keterangan penduduk berkenaan dan meneliti dokumen-dokumen milik syarikat terbabit untuk memastikan kedudukan pegawai kanan polis itu dalam syarikat berkenaan.

Seorang pegawai kanan BPR memberitahu Bernama, badan itu kini menilai harta jutaan ringgit yang didakwa dimiliki pegawai kanan polis berkenaan.

"Adalah mustahil bagi seorang pegawai kanan polis (seperti beliau) untuk mengumpul harta sebanyak itu.

"Oleh itu, kami perlu mendapat penjelasan bagaimana beliau memperolehnya. Kami perlu melihat banyak aspek semasa siasatan dan ini adalah sebahagian prosedur kami.

"Kami mungkin memanggilnya untuk disoal siasat dari semasa ke semasa. Tiada siapa yang mengatasi undang-undang," katanya.

Pegawai kanan polis itu, yang kini mengetuai sebuah jabatan di ibu pejabat polis Bukit Aman, bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk

mendapatkan ulasannya.