Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua helikopter bergesel 'selamat untuk terbang’ - Lembaga Siasatan
Diterbitkan:  May 9, 2024 1:55 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Lembaga Siasatan mendedahkan dua helikopter yang bergesel sebelum terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada 23 April lalu, adalah  dalam keadaan airworthy atau selamat untuk terbang.

Selain itu, laporan awal TLDM hari ini turut mendedahkan empat fakta lain berhubung tragedi yang mengorbankan 10 nyawa itu.

“Kesemua kru udara terbabit disahkan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat (fit to fly).

“Tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh,” kata laporan itu. 

"Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment manufacturer (OEM).

“Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan,” kata laporan awal itu.

Selain itu ia mendedahkan helikopter HOM AW139 itu mempunyai kotak hitam atau black box manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut. 

“Data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder (kotak hitam) pesawat HOM AW139 telah diterima pada 3 Mei daripada pihak OEM untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam tragedi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki mereka bergesel sebelum terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Susulan kejadian itu, Lembaga Siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian nahas dua helikopter terbabit.

Sementara itu, TLDM memaklumkan Lembaga Siasatan sedang berusaha untuk menyiapkan Laporan Akhir yang dijangka selesai pada 29 Mei ini.

Menurut TLDM, Lembaga Siasatan akan terus mengenal pasti aspek-aspek berkaitan yang perlu diteliti dengan lebih mendalam dan menyediakan Laporan Akhir secara menyeluruh dan terperinci.

“TLDM memberi jaminan bahawa siasatan ini dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” menurut kenyataan itu.

TLDM menjelaskan Lembaga Siasatan sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang menyumbang kepada insiden terbabit dengan meneliti perkara merangkumi aspek menganalisis semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan mensimulasikan ia menggunakan simulator penerbangan dan pesawat sebenar.

“Bantuan dan pandangan daripada pihak Airbus Helicopter sekiranya terdapat data-data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

Lembaga Siasatan itu dianggotai sembilan pegawai TLDM yang berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara turut mendapat bantuan daripada Markas Tentera Udara – Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kerjasama, kepakaran dan pandangan daripada pihak OEM iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter turut dirujuk bagi melengkapkan siasatan termasuk analisis penuh rakaman Multi Purpose Flight Data Recorder (kotak hitam) pesawat HOM,” menurut kenyataan itu.

Mengenai kebajikan ahli keluarga mangsa, TLDM memberitahu pihaknya akan terus berusaha untuk memastikan perkara itu diuruskan dengan sebaiknya terutama berhubung ganjaran dan faedah sesuai dengan kelayakan masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS