Mahkamah umum terima atau tolak keterangan Sirul Rabu ini
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yassin akan mengumumkan Rabu ini sama ada akan menerima atau menolak sebagai bukti apa yang dinyatakan oleh Kpl Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kononnya dia tahu di mana wanita Mongolia itu diletupkan.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Md Yassin akan mengumumkan Rabu ini sama ada akan menerima atau menolak sebagai bukti apa yang dinyatakan oleh Kpl Sirul Azhar Umar, tertuduh kedua kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kononnya dia tahu di mana wanita Mongolia itu diletupkan.
Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin hari ini mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung keterangan saksi ke-23, ASP Zulkarnain Samsudin, bahawa Sirul Azhar telah menyatakan kepada satu pasukan polis di tempat kejadian bahawa "Saya (Sirul Azhar) boleh tunjuk tempat perempuan itu diletupkan".
Kamarul Hisham Kamarudin, peguambela Sirul Azhar, membantah keterangan itu dicatat kerana ia bersifat prejudis dan tidak boleh diterima, manakala Timbalan Pendakwaraya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata ianya boleh diterima mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan kerana ia hanya menunjukkan perbuatan Sirul Azhar, demikian menurut laporan Bernama.
Sirul Azhar, 36, dan Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, dituduh membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, dituduh bersubahat dengan mereka melakukan pembunuhan itu.
Dalam hujahnya hari ini, Kamarul Hisham berkata, perkataan "perbuatan" dalam Seksyen 8 Akta Keterangan tidak meliputi keterangan yang dibuat oleh seorang tertuduh.
Ditangguh hingga Rabu
Katanya, kenyataan dan perbuatan seseorang tertuduh adalah di bawah Seksyen 113 Kanun Acara Jenayah dan tidak boleh diperoleh menerusi pujukan, ugutan atau janji.
Wong Kian Kheong, peguambela Abdul Razak, berhujah bahawa Seksyen 113 Kanun Acara Jenayah, mempunyai aplikasi yang luas, dan ia termasuk keterangan dan perbuatan seseorang tertuduh.
"Seksyen 113 menjelaskan mengenai kebolehterimaan. Kalau ada kenyataan, maka Seksyen 113 terpakai. Seksyen 113 adalah berkenaan siasatan polis dan saksi pendakwaan ke-23 (ASP Zulkarnain) sedang buat siasatan polis.
"Seksyen 8 Akta Keterangan adalah peruntukan am, jadi Seksyen 113 mesti mengatasi Huraian 1 seksyen 8," katanya.
Tun Abdul Majid pula berkata, kenyataan yang diiringi dengan perbuatan hendaklah diterima di bawah Seksyen 8, kerana jika tidak, "perbuatan" tidak membawa sebarang erti.
Perbicaraan pembunuhan Altantuya hari ini hanya didengar separuh hari apabila Hakim Datuk Mohd Zaki menangguhkannya sehingga Rabu ini, untuk membolehkan perbicaraan satukes pembunuhan yang didengar separuh jalan sejak 2004, disambung berikutan aduan peguam dalam kes tersebut.
Anakguam sakit
Beliau memberitahu pihak pendakwaan dan pembelaan bahawa beliau telah membenarkan permohonan peguam berkenaan untuk membicarakan kes pembunuhan yang sudah didengar separuh jalan itu pada jam 2 petang ini dan keseluruhan hari esok.
Kes melibatkan Vasutevan Batumalai itu pada mulanya dijadualkan didengar hari ini dan esok tetapi Mohd Zaki memutuskan akan mendengar kes lain pada hari Jumaat untuk memberi tumpuan terhadap kes Altantuya dari Isnin hingga Khamis.
Bagaimanapun, kata Hakim itu, K.A. Ramu, peguam bagi Vasutevan, telah mendesak beliau Jumaat lalu supaya kesnya diberikan keutamaan kerana anakguamnya sakit dan dalam tahanan reman sejak 2004.
Perbicaraan kes C/Insp Azilah Hadri, 31, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas, serta penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, telah berjalan sejak 18 Jun.
Kedua-dua anggota polis itu dituduh membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja di antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu sementara Abdul Razak dituduh bersubahat dengan mereka.

