MBMB lancar operasi roboh kuil di Kampung Tambak Paya
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah melancarkan operasi merobohkan kuil Sri Periachaman di Kampung Tambak Paya di Melaka kira-kira jam 10 pagi tadi.
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah melancarkan operasi merobohkan kuil Sri Periachaman di Kampung Tambak Paya di Melaka kira-kira jam 10 pagi tadi.
Sebelum ini, penduduk beragama Islam di kampung tersebut membantah pembesaran kuil berkenaan kerana sudah ada dua kuil di kampung itu.
Ekoran bantahan tersebut MBMB telah mengeluarkan dua notis kepada penjaga kuil tersebut supaya merobohkannya.
Operasi yang bermula kira-kira jam 10 pagi itu membabitkan 50 anggota MBMD, 100 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan 20 pekerja syarikat Southern Waste Management (SWM).
Mereka mengambil masa kira-kira 40 minit untuk merobohkan kuil tersebut.
Manakala Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, S Jayathas ditahan polis kerana didakwa cuba menghalang pekerja MBMB merobohkan kuil tersebut.
Minta waran
Kejadian itu berlaku apabila Jayathas meminta pihak berkuasa menunjukkan waran yang membolehkan MBMB merobohkan kuil tersebut.
Jayathas digari ketika dibawa ke Balai Polis Titi Dua kira-kira jam 11 pagi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah untuk diambil kenyataan sebelum dibebaskan kira-kira jam 1. 30 tengah hari tadi.
"Saya membantah kerana MBMB tidak membawa sebarang notis yang membenarkan mereka merobohkan kuil tersebut.
"Mereka cuma membawa notis lama yang dikeluarkan oleh MBMB tetapi pemilik kuil masih menunggu surat rayuan yang dihantar kepada MBMB dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang belum dijawab," katanya kepada malaysiakini .
Jayathas berkata, ketika operasi mahu dijalankan, beliau telah meletakkan sebuah van miliknya di depan pintu masuk ke kuil berkenaan bagi menghalang jentolak merobohkan kuil tersebut.
Beliau juga mendakwa, anggota polis telah menolak beliau sehingga terjatuh sebelum digari dan dibawa ke Balai Polis Titi Dua.
Adun: Hak MBMB
"Saya memberitahu polis bahawa mereka tidak boleh merobohkan kuil tersebut kerana ia merupakan tempat ibadat orang Hindu tetapi tidak dihiraukan," katanya.
Jayathas mendakwa, patung dewa juga pecah, selain barangan berharga hilang semasa operasi tersebut dibuat.
Berikutan itu, Jayathas bersama beberapa penduduk kaum India telah membuat laporan polis di IPD Melaka Tengah awal petang tadi.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Yunos Husin ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak campurtangan dalam operasi merobohkan kuil tersebut.
"Tindakan merobohkan kuil itu merupakan hak MBMB selepas mengambil kira bantahan penduduk terhadap kuil tersebut," katanya.
Malaysiakini tidak berjaya menghubungi Datuk Bandar MBMB, Datuk Zaini Mohd Noor bagi mendapatkan ulasan mengenai operasi merobohkan kuil tersebut.

