Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM cadang pertimbang tahanan rumah Najib lepas kes 1MDB selesai
Diterbitkan:  May 15, 2024 11:40 AM
Dikemaskini: 4:06 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya patut mempertimbangkan tahanan rumah kepada Najib Razak selepas kes 1MDB selesai. 

Menegaskan dia tidak akan sesekali mengenepikan kuasa Agong, Anwar berkata syornya itu hanya akan dikemukakan jika diminta oleh baginda.

“Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan berkata, Tuanku, lalui proses itu,” katanya semasa wawancara dengan Bloomberg di Forum Ekonomi Qatar semalam.

Anwar menekankan tentang kepentingan melalui proses sewajarnya dengan memetik keputusan Agong sebelum ini mengurangkan sebahagian hukuman Najib. 

Dia menasihatkan Agong melayan permohonan Najib seperti mana-mana rakyat biasa yang merayu kepada Lembaga Pengampunan.

Tegas Anwar dia telah memberikan Najib semua kemudahan yang ada di penjara.

Dengan keselesaan itu, bagaimanapun kata Anwar, penjara tetap penjara.

Katanya, sebagai bekas banduan dia mengetahui berkaitan perkara itu.

Pada 1999, Anwar disabitkan atas kesalahan rasuah dan dijatuhi hukuman enam tahun. Selepas itu, dia berdepan hukuman penjara sembilan tahun lagi selepas disabitkan dengan kesalahan liwat. 

Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan daripada tuduhan liwat pada 2004 tetapi sekali lagi disabitkan pada 2014 dan kemudiannya diberikan pengampunan penuh diraja dan dibebaskan pada 2018.

Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB, syarikat pelaburan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Najib memfailkan semakan kehakiman berhubung pelaksanaan titah adendum (tambahan) Agong berhubung tahanan rumah.

Agong sebelum ini memberi separuh pengurangan hukuman kepada enam tahun serta dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta kepada Najib.

Sementara itu, Anwar turut menolak dakwaan bahawa pentadbirannya sedang bergolak, terutamanya mengenai gesaan supaya Najib diberikan tahanan rumah.

Membangkitkan kemenangan baru-baru ini dalam pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu sebagai bukti kestabilan kerajaannya.

"Kami menang dengan selesa. Ini bermakna, sekali lagi, jangan pandang rendah kebijaksanaan orang ramai," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS