Satu laporan polis dibuat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung satu komen yang didakwa berunsur hasutan yang disiarkan dalam lamanwebnya.

Laporan tersebut dibuat oleh anggota jawatankuasa pusat DAP, Ronnie Liu di balai polis Damansara Utama.

Menurut laporan tersebut, sebuah artikel bertajuk 'Bersatulah Kaum Cina' yang didakwa mengandungi komen berunsur perkauman, telah disiarkan dalam lamanweb tersebut pada November 2005.

Artikel tersebut, di bawah nama penulis Dr Ng Seng, mendakwa, kaum Cina berkomplot untuk melemahkam politik dan ekonomi orang Melayu.

Artikel tersebut yang ditulis dalam Bahasa Malaysia, mendakwa rusuhan kaum 1969 adalah percubaan yang gagal oleh orang Cina untuk mengambilalih negara ini.

Artikel tersebut disiarkan dalam bahagian ucapan takziah yang disediakan berikutan kematian isteri pertama Abdullah, Datin Seri Endon Mahmood pada Oktober 2005.

Artikel yang mula disiarkan pada 14 November tahun lalu, telah dikeluarkan dari lamanweb tersebut hari ini.

'Dwi-standard'

Ketika dihubungi kemudiannya, Liu berkata, beliau membuat laporan tersebut untuk menunjukkan mewujudkan sikap "dwi-standard" dalam tindakan yang diambil terhadap beberapa blogger politik.

"Saya tidak mencadangkan bahawa polis mengambil terhadap Perdana Menteri. Tetapi saya menyatakan bahawa tindakan tidak sepatutnya diambil terhadap Raja Petra (webmaster Malaysia Today ) dan Nathaniel Tan (blogger dan webmaster PKR)," katanya.

Dua minggu lalu, Tan ditahan kerana menyiarkan komen yang mengaitkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum dengan dakwaan rasuah ekoran pembebasan tiga tahanan Akta Darurat. Bagaimanapun, siasatan terhadap Johari ditutup kerana dikatakan tiada bukti.

Minggu lalu, Raja Petra dipanggil memberi keterangan ekoran komen dalam Malaysia Today yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan agama Islam.

Liu berkata, beliau telah membuat salinan artikel tersebut sebelum ia dikeluarkan.

"Saya dimaklumkan mengenainya semalam. Saya telah muat-turun satu salinan dan mencetaknya kira-kira jam 1 pagi tadi," katanya. Berita asal