Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gagal mediasi, saman trio DAP terhadap wakil PAS akan dibicarakan
Diterbitkan:  May 15, 2024 1:28 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Saman fitnah yang dikemukakan oleh pengerusi DAP Lim Guan Eng bersama dua pemimpin parti itu terhadap ahli Parlimen PAS, Siti Mastura Muhammad gagal mencapai penyelesaian melalui proses mediasi seperti yang dinasihatkan oleh mahkamah hari ini.

Peguam yang mewakili Lim, veteran DAP Lim Kit Siang dan ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Sankara Narayanan Nair ketika dihubungi berkata kes tersebut, akan dibicarakan di mahkamah bermula 2 Sept ini.

“Proses mediasi bermula 11 pagi tadi, tetapi semua pihak tidak dapat mencapai persetujuan, oleh itu sesi ini tidak berjaya. Kita akan ke mahkamah untuk perbicaraan, namun kami tidak boleh mendedahkan lebih banyak.

“Perbicaraan akan bermula pada 2 Sept. Ia akan menjadi perbicaraan bersama, ia telah digabungkan,” katanya kepada pemberita selepas proses mediasi di luar Bilik Mediasi Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini. 

Turut hadir Siti Mastura dan peguamnya Mohd Faizi Che Abu.

Siti Mastura Muhammad

Peguam itu menambah bahawa perkara tersebut akan diteruskan dengan perbicaraan penuh selama sembilan hari pada September ini.

Mahkamah sebelum ini mencadangkan proses mediasi kepada pihak yang terlibat untuk menyelesaikan tuntutan saman tersebut.

Pada 27 Nov tahun lalu, Guan Eng, Kit Siang dan Kok memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura.

Sankara Nair

Tiga tuntutan saman itu adalah berkaitan dengan ucapan Siti Mastura selaku defendan pada kempen pilihan raya kecil Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, pada 4 Nov lalu.

Ketika itu, Siti Mastura yang juga ahli Parlimen Kepala Batas mendakwa ketiga-tiga pemimpin DAP tersebut mempunyai pertalian dengan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew dan pemimpin Parti Komunis Malaya, Ong Boon Hua atau lebih dikenali dengan nama Chin Peng.

Pihak plaintif menuntut ganti rugi am, pampasan teruk dan ganti rugi teladan selain injuksi bagi menghalang defendan daripada terus membuat dakwaan tersebut.

Sebelum ini media melaporkan, dalam kenyataan pembelaannya Siti Mastura mendakwa dia membuat dakwaan tersebut berdasarkan "fakta" yang terkandung dalam sebuah buku dikatakannya sebagai sumber boleh dipercayai.

Bagaimanapun dalam jawapan balas, ketiga-tiga plaintif berhujah, sebagai pemegang ijazah kedoktoran (PhD), Siti Mastura sepatutnya menyemak semula maklumat berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS