Parti Progresif Penduduk (PPP) mendakwa, kenyataan presidennya, Datuk M Kayveas bagi mendapatkan kerusi baru dalam pilihanraya umum akan datang, telah diputarbelitkan oleh beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya, Dr Siva Kumar berkata, Kayveas tidak pernah mengugut keluar BN jika permintaanya tidak dipenuhi seperti yang digembar-gemburkan pemimpin-pemimpin tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, Kayveas berpendapat, lebih baik beliau menjadi pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) atau koperasi jika permintaan PPP itu tidak dipenuhi, demikian menurut laporan Bernama.

Menurut Dr Siva lagi, PPP mempunyai bukti berbentuk pita rakaman wartawan yang boleh menafikan Kayveas pernah membuat ugutan tersebut.

"Beliau tidak pernah mengugut atau mengancam akan membawa keluar PPP daripada BN dan ini boleh dibuktikan daripada pita rakaman para wartawan"

katanya kepada pemberita di Johor Bahru semalam.

Dr Siva mengulas tindakan beberapa pemimpin BN, termasuk Umno dan MIC, yang menyelar Kayeas kerana dikatakan mengugut membawa keluar partinya dari BN jika desakannya tidak dipenuhi.

Kayveas didakwa membuat kenyataan itu pada satu sidang akhbarnya selepas menghadiri ulang tahun ke-54 parti itu di Johor Bahru, beberapa hari yang lalu.