Dewan Pemuda PAS (DPP) pusat hari ini menyahut cabaran Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin untuk berdebat secara terbuka bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

"Saya mewakili Dewan Pemuda PAS pusat mengambil sikap terbuka dan bersedia menyahut cabaran Naib Ketua Pemuda Umno itu untuk memperdebatkan isu Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Andainya Pemuda Umno ikhlas ingin meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, ianya sangat dialu-alukan dan Dewan Pemuda PAS menyambut baik perkembangan ini.

"Namun dalam masa yang sama Dewan Pemuda PAS tidak mahu Umno berpura-pura dengan pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sedangkan Umno tidak bersedia ke arah itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini

Beliau merujuk kepada laporan media yang memetik Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mempertahankan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Khairy juga dilaporkan mencabar secara terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin berdebat untuk beliau mempertahankan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Sebelum ini tentang

Menurut Nasrudin, PAS sejak awal penubuhannya lagi telah menjelaskan visi perjuangan suci untuk menjadikan negara ini sebuah negara Islam.

"Malangnya, visi suci ini mendapat tentangan sengit dari parti komponen Barisan Nasional (BN), terutamanya Umno.

"Setelah hampir 50 tahun negara merdeka, barulah kedengaran suara dari Umno mutakhir ini menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Memang agak aneh, namun itulah realitinya," tambah Nasrudin.

Katanya, bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam seketika dulu, kini Najib sekali lagi mengulangi pengisytiharan tersebut.

Bagaimanapun, tegasnya, pembentukan sebuah negara Islam pasti tidak terhenti dengan majlis pengisytiharan atau pemasyhuran semata-mata.

"Sebaliknya, ia mesti didahului dengan pelaksanaan dan penghayatan rukun dan prinsip bagi sebuah negara Islam.

Hantar surat

"Bahkan Umno dan pergerakan Pemudanya mestilah bertanggungjawab terhadap langkah yang mereka ambil melalui pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"Mereka mesti berani untuk turun bermuzakarah bagi menjelaskan kandungan atau 'substance' kepada negara Islam yang mereka telah isytiharkan serta berani pula untuk turun berdebat bagi membuktikan bahawa mereka bersedia atau telah melaksanakan objektif dan prinsip negara Islam," tambahnya.

Nasrudin berkata, Dewan Pemuda PAS tidak mahu pengisytiharan tersebut sekali lagi menjadi gimik dan gula-gula pilihanraya sebagaimana dengan Islam Hadhari.

"Saya telah menghantar surat rasmi melalui sekretariat Dewan Pemuda PAS pusat ke pejabat Khairy Jamaluddin untuk menyatakan kesediaan saya memperdebatkan isu ini (Malaysia sebuah negara Islam) guna mencari keredhaan Ilahi dan menyerlahkan kebenaran agama Islam.

"Saya harap Khairy turut bersedia untuk turun dengan maksud yang sama, sebagaimana kesediaan yang beliau tegaskan sebelum ini," katanya.

Ketepikan perbezaan politik

Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar di ibunegara hari ini, Nasrudin berkata DPP sedia mengenepikan perbezaan politik untuk bekerjasama dengan Umno amnya dan Pemuda Umno khususnya, bagi menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang mencakupi keadilan, kemakmuran dan keselamatan untuk semua.

Katanya, sangat elok kedua-dua parti Melayu itu bekerjasama untuk menjayakan konsep Negara Islam tersebut.

Beliau juga berharap Umno ikhlas mendengar dan meneliti cadangan DPP mengenai konsep negara Islam yang perlu dilaksanakan di negara ini.

"Langkah pertama yang perlu dibuat sekarang ialah DPP dan Pemuda Umno perlu bertemu dengan lapang dada dan mengenepikan perbezaan parti.

"Kami banyak idea dan cadangan yang boleh diteliti oleh Umno jika mereka serius untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

"DPP tidak menentang pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam tetapi berpendapat tidak cukup dengan pengisytiharan semata-mata kerana ia perlu dilaksanakan, " katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Tingkat ketelusan

Nasrudin berkata, PAS memang sudah lama berusaha dan berjuang menegakkan negara Islam tetapi tidak berjaya kerana belum menjadi pemerintah.

"DPP sangat mengalu-alukan jika Pemuda Umno mahu menegakkan negara Islam tetapi ia perlu dilaksanakan dan bukannya sekadar pengisytiharan semata-mata," katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku hari ini ialah Umno mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam tetapi pengisiannya tidak mencerminkan prinsip kerajaan Islam.

Katanya, untuk menjadi negara Islam sebenar, ketelusan perlu dipertingkatkan.