Pilihanraya umum dijangka diadakan awal tahun depan. Pada amnya, keputusannya sudah boleh diramalkan. Barisan Nasional (BN), terutamanya melalui Umno, akan memenangi kerusi Parlimen yang mencukupi untuk kembali berkuasa dengan majoriti dua pertiga.

Malah hakikat ini juga turut diakui oleh pihak pembangkang. Namun, ini tidak bermakna pilihanraya umum akan datang tidak menarik.

Ianya pasti menarik di Kelantan dan Terengganu. Di Kelantan, kedudukan kerajaan PAS memang genting - dengan hanya majoriti satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). Dalam pilihanraya umum 2004, PAS kembali berkuasa dengan kelebihan dua kerusi.

Selepas itu, PAS tewas dalam pilihanraya kecil Pangkalan Pasir, sekaligus mengurangkan majoritinya kepada satu kerusi sahaja - 23 PAS, 22 BN.

Walaupun BN gagal merampas Kelantan dari tangan PAS, tetapi apakah rakyat Kelantan sudah mula menunjukkan 'kecenderungan' mereka untuk menukar kerajaan negeri.

Ataupun ada satu 'sumpahan' terhadap parti pembangkang tersebut. Jika Langkawi terkenal dengan sumpah Mahsuri, mungkin kini giliran PAS pula dalam menghadapi pilihanraya umum akan datangi.

Mengikut sejarahnya, PAS memerintah Kelantan selama 18 tahun sebelum kejatuhannya kepada BN pada 1978. Selepas 12 tahun BN di Kelantan, PAS berjaya merampas semula Kelantan dalam pilihanraya umum 1990.

Dan tahun depan, genaplah 18 tahun PAS memerintah negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Apakah 'sumpahan' 18 tahun ini akan berulang sekali lagi - di mana BN akan kembali berkuasa.

Tambahan pengundi

Beberapa pemerhati politik apabila ditanya mengenainya berkata, memang tiada yang mustahil dalam politik. Mungkin juga, kata mereka, wujud satu pusingan politik pemerintahan semulajadi di Kelantan - 18 tahun untuk PAS dan 12 tahun untuk Umno. Dan ia mungkin satu kebetulan!

Kalau berdasarkan keputusan pilihanraya umum yang lalu, kata mereka, tiada mustahil BN mampu merampas semula Kelantan dari tangan PAS dalam pilihanraya umum yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Bagaimanapun, mereka percaya 'realiti sebenar' akan menjadi penentu utama kalah menang PAS dan Umno di Kelantan. Antara yang menarik ialah pertambahan jumlah pengundi secara mendadak khususnya di Kelantan dan Terengganu. Keadaan itu telah mempopularkan istilah 'pengundi hantu'.

Lantaran itu, setiap kali ada pilihanraya kecil khususnya, kita akan dengar kejadian bas-bas dikepung, kerana didakwa membawa 'pengundi hantu', sepertimana berlaku di Ijok baru-baru ini.

Siapakah pengundi hantu ini? Ada yang menganggap 'pengundi hantu' adalah mereka dari luar Kelantan yang didaftarkan di Kelantan supaya boleh datang mengundi dalam pilihanraya kecil atau umum. Mereka ini didakwa hanya muncul pada waktu pilihanraya sahaja.

Mungkin mereka ini rakyat Kelantan yang bekerja di negeri-negeri lain yang mendaftar sebagai pengundi dan balik membuang undi sewaktu pilihanraya kecil atau pilihanraya umum?

Balik berdaftar

Pemerhati politik berpendapat kemungkinan itu memang ada memandangkan sejak kebelakangan ini, parti-parti politik, khususnya Umno dan PAS telah meningkatkan usaha mengesan rakyat Kelantan di luar negeri itu dan memujuk mereka balik mendaftar sebagai pengundi. Berikutan itu jumlah pengundi di Kelantan meningkat secara mendadak.

Mungkinkah mereka antara 100,000 orang yang didakwa oleh PAS cuba dibawa masuk oleh Umno untuk mendaftar sebagai pengundi di Kelantan? Malah, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri berkata masih terdapat kira-kira 200,000 lagi yang belum mendaftar sebagai pengundi di Kelantan.

Di samping itu, timbul juga dakwaan bahawa mereka ini adalah penduduk Selatan Thai yang mempunyai dua kerakyatan - Malaysia dan Thailand. Dengan adanya kad pengenalan Malaysia, maka mereka dengan mudah masuk ke Kelantan untuk mengundi tanpa menimbulkan sebarang masalah.

Ternyata kehadiran mereka amat penting dalam menentukan kemenangan bagi PAS atau Umno, khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Esok: Mampukah Umno merampas Kelantan?