Datuk Amil: Umno patut bertanding kerusi Tun Razak
Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak di ibu negara negara wajar ditandingi oleh Umno dalam pilihanraya umum akan datang sebagaimana yang dijanjikan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 1995, kata bekas ketua Umno bahagian itu, Datuk Amil Salleh.
Kerusi Parlimen Bandar Tun Razak di ibu negara negara wajar ditandingi oleh Umno dalam pilihanraya umum akan datang sebagaimana yang dijanjikan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 1995, kata bekas ketua Umno bahagian itu, Datuk Amil Salleh.
Katanya, Muhd Taib yang ketika itu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan, berjanji kerusi Bandar Tun Razak diberikan kepada Umno sebaik persempadanan semula Parlimen Sungai Besi dibuat pada tahun berkenaan.
Amil (foto) digantung dari jawatan ketua Umno bahagian bandar Tun Razak oleh Lembaga Disiplin Umno kerana dikatakan terbabit dengan politik wang dalam pemilihan parti yang lalu.
Parlimen Bandar Tun Razak merupakan pecahan dari Sungai Besi dan kini mempunyai kira-kira 62,000 pengundi berdaftar dengan majoriti pengundi Melayu kira-kira 51.82 peratus.
Sejak 1995, kerusi tersebut ditandingi oleh MCA walaupun ketika ini pengundi Cina cuma 39.61 peratus, manakala India 7.91 peratus.
Pada masa ini, kerusi tesebut diwakili oleh Pengerusi Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho (foto).
Penempatan baru
"Pengundi Melayu di Bandar Tun Razak semakin bertambah berikutan pembukaan penempatan baru di kawasan Bandar Tasik Permaisuri dan Alam Damai ekoran pemindahan setinggan.
"Di kawasan ini juga banyak flat perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mana 60 peratus penghuninya merupakan orang Melayu," katanya.
Amil berkata, bagaimanapun, Muhd Taib Cfoto) yang kini Ketua Penerangan Umno tidak menunaikan janjinya sebaliknya memberikan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak kepada MCA.
Katanya, difahamkan Muhd Taib gagal menunaikan janjinya kerana Umno telah mengambil kerusi Parlimen Hulu Langat dari MCA dalam pilihanraya umum 1995.
Amil berkata, setiap kali mesyuarat bahagian Umno diadakan, para ahli mendesak supaya kerusi itu diberikan kepada Umno berikutan majoriti pengundinya adalah orang Melayu.
Katanya, tuntutan itu amat wajar kerana MCA sudah bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak sejak tiga penggal lalu dan sudah tiba masanya kerusi itu diberikan kepada calon Umno pula.
Penyokong BN
"Hampir keseluruhan pengundi Melayu di Bandar Tun Razak merupakan ahli dan penyokong Umno yang mengundi BN dalam setiap pilihanraya," katanya.
Amil berkata, pihaknya bukan mahu memaksa Barisan Nasional (BN) tetapi sekadar menuntut kerusi yang telah dijanjikan sebelum ini.
Katanya, permintaan tersebut sangat berasas kerana jumlah pengundi Melayu yang melebih kaum lain serta telah dijanjikan oleh pemimpin Umno sendiri.
Selain Bandar Tun Razak, dua kawasan Parlimen lagi iaitu Wangsa Maju dan Batu berpotensi ditandingi oleh Umno kerana peratus pengundi Melayu melebihi kaum lain.
Peratus pengundi Melayu di Wangsa Maju ialah 51.83 peratus manakala Batu 42.12 peratus - kedua-duanya diwakili oleh MCA.

