Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 MP Bersatu sokong Anwar tak akan nyatakan kesetiaan, kosongkan kerusi
Diterbitkan:  May 18, 2024 5:40 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Dua daripada tujuh wakil rakyat Bersatu, yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, membayangkan mereka tidak akan melayan arahan bertulis daripada parti untuk menyatakan kesetiaan mereka dalam tempoh 14 hari mengosongkan kerusi.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyifatkan arahan itu sebagai "tiada makna" dan berkata dia tidak akan membalas surat yang dikeluarkan kepadanya.

"Saya nak tunggu apa tindakan mereka (selepas 14 hari) dan jika berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) pun saya saya akan turun bertanding.

"Apa yang saya buat adalah mahu menunjukkan tindakan mereka itu tak betul, merosakkan fikiran rakyat dan mengganggu ahli parlimen menjalankan tugas," katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Syed Abu Hussin juga berkata dia telah merujuk surat itu dengan peguam dan bekas hakim dan dimaklumkan Bersatu membuat kesalahan kerana membuat gangguan dan menghasut rakyat.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata ahli parti itu perlu membalas surat itu dalam tempoh 14 hari surat dikeluarkan, iaitu pada 17 Mei lalu.

"Khusus kepada enam orang yang diumumkan untuk menyokong sebelah sana (blok kerajaan), ada beberapa arahan tambahan yang kita berikan kepada mereka," kata Hamzah.

Selain Syed Abu Hussin, lima ahli parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan keada Anwar adalah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim ( Gua Musang).

Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari, turut mengumumkan sokongannya terhadap perdana menteri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman dipetik laman Free Malaysia Today sebagai berkata, dia telah menerima surat yang ditandatangani Hamzah yang menggesanya agar mengosongkan kerusi, selepas keahlian partinya dilucutkan berkuat kuasa semalam.

Suhaili Abdul Rahman

Suhaili bagaimanapun berkata dia tidak akan berbuat demikian dan akan terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai ahli parlimen.

Dia juga mendakwa kandungan surat kepadanya, yang dihantar menerusi emel semalam, berbeza dan tiada arahan tambahan seperti yang diterima lima ahli parlimen yang lain.

“Saya tiada 14 hari itu dan ‘arahan khas’ terus gugur sebab saya bawa mereka ke mahkamah...ikut perlembagaan keahlian akan tergugur secara automatik jika mana-mana ahli berbuat demikian.

“Jadi sebenarnya sejak Disember tahun lepas, terbukti saya telah jadi Ahli Parlimen bebas kerana saya dipecat sebagai ahli Bersatu angkara membawa kes politik dalaman parti ke mahkamah,” kata Suhaili seperti dipetik, sambil menambah tiada keperluan untuknya mengosongkan kerusi.

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya akan memfailkan notis kepada Dewan Rakyat bagi mengosongkan kerusi enam ahli parlimen tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS