Umno akan menjawab tohmahan PAS terhadap parti itu dalam satu seminar yang akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada 25 Ogos ini, kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, seminar sehari itu yang bertajuk "Umno Mentatbiq Islam dan Ummah" diadakan dengan untuk tujuan menyangkal prasangka rakyat terhadap Umno yang ditimbulkan oleh PAS, demikian menurut laporan Bernama.

Bercakap kepada pemberita, beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, antaranya adalah dakwaan PAS bahawa Umno memperjuangkan dasar kebangsaan yang tidak mengikut kehendak Islam sedangkan PAS bersandarkan pada Islam menerusi kepimpinan ulama.

Dakwaan lain ialah perlembagaan negara bercanggah dengan Islam, menyertai PAS adalah jihad, pemimpin Umno jahil dan corak kepimpinannya dan ulama Umno diibaratkan sebagai tunggul kayu.

Ketua Umno Bahagian Kota Baharu Datuk Mohd Fatmi Che Salleh pula berkata seminar itu akan memperjelaskan perkara sebenar kepada rakyat Kelantan agar mereka tidak terpengaruh dengan tohmahan PAS dan salah faham terhadap perjuangan dalam menegakkan Islam menerusi dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau berkata ,lebih 1,000 orang peserta termasuk daripada kalangan guru agama sekolah rendah dan menengah, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan guru J-Qaf akan menghadiri seminar itu.

Mohd Fatmi berkata seminar anjuran Jawatankuasa Biro Agama dan Kerohanian Umno Bahagian Kota Baharu itu terbuka kepada orang ramai termasuk para penyokong Pas.