Akmal patut berhujah, bukan 'marah-marah' - Prof Rom Nain
Seorang lagi ahli akademik tampil membidas Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh susulan “serangannya” ke atas seorang kolumnis Malaysiakini yang melabelkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai "akademi apartheid" dan seruannya mengerahkan anggota pergerakan itu di seluruh negara untuk membuat laporan polis.
Zaharom Nain, seorang profesor kajian media dan komunikasi (gambar bawah) berkata mereka yang tidak bersetuju dengan kandungan artikel tulisan wartawan veteran, The Star, Andrew Sia itu seharusnya menyediakan pandangan alternatif.
“Sia mengatakan sesuatu yang telah mencetuskan kemarahan (set the cat among the pigeons) dengan menulis satu pendapat bersifat polemik.

“Kita, sebaliknya, sepatutnya melihatnya sebegitu dan, jika kita tidak bersetuju dan menentang pendapatnya, libatkan dia, cabar dia dengan pandangan alternatif. Inilah cara wacana beradab oleh individu yang matang.
“Kita tidak sepatutnya marah-marah (go screaming blue murder) dan membuat ugutan dan laporan polis kerana itu adalah cara budak-budak, pengecut, pembuli dan samseng,” tambahnya.
‘Mengapa majoriti B40 masih bumiputera’
Zaharom juga menggesa Akmal menumpukan tumpuan terhadap soalan yang lebih penting.
“Dalam hal ini, orang seperti Akmal harus benar-benar menyalurkan tenaga dan kebimbangan mereka kepada persoalan mengapa selepas 53 tahun DEB (Dasar Ekonomi Baru) dan walaupun dengan institusi seperti UiTM, bumiputera masih membentuk majoriti B40?

“Berapa banyak yang telah dia lakukan selama ini untuk rakyat Malaysia miskin yang masih terdapat di negara hari ini?
“Ironisnya, dia dan mereka yang seangkatan dengannya adalah orang yang bermati-matian cuba mengeluarkan bekas bosnya dari penjara kerana melakukan jenayah keji mencuri berjuta-juta, mungkin berbilion-bilion ringgit, daripada kita semua,” katanya merujuk kepada sabitan dan perbicaraan kes terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.
Semalam, Akmal berkata langkah membuat laporan polis itu dibuat sebagai tindak balas kepada tulisan Sia yang diterbitkan oleh Malaysiakini kelmarin apabila kolumnis terbabit melabelkan UiTM sebagai "akademi aparteid".
"(Ini) merupakan keceluparan yang wajib diajar," tegas exco kerajaan Melaka itu lagi.

Akmal juga menuntut Sia membuat permohonan maaf secara terbuka, manakala Malaysiakini dituntut menurunkan artikel berkenaan dari laman sesawangnya.
Dengan menuduh UiTM sebagai institusi aparteid, katanya, Sia telah menghina legasi institusi pendidikan bumiputera dan menyakiti orang Melayu.
Menegaskan institusi pengajian tinggi (IPT) itu ditubuhkan untuk membantu bumiputera mengejar pendidikan dan bukan untuk menindas sesiapa, Akmal berkata, di negara ini sekolah vernakular juga diberikan peruntukan oleh kerajaan
Terdahulu, seorang lagi ahli akademik, Profesor Tajuddin Rasdi menjelaskan bagaimana istilah "apartheid" digunakan untuk menggambarkan dasar diskriminasi secara umum.
“Kalau seseorang itu menggunakan sesuatu perkataan, ia ada satu maksud yang khusus.
“Tetapi kalau kita menambah-nambahkan, mengandai-andaikan perkataan itu, maka ia boleh menjadi sesuatu yang besar,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/285898c159567e0a39c8c8a9c7ecfb63.jpg)
